KBS Sedia Pertimbang Insentif Untuk Atlet Paralimpik

Diterbitkan: Jumaat, 12 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sedia mempertimbangkan elaun insentif kepada atlet paralimpik negara yang melayakkan diri ke Sukan Paralimpik London tahun depan.

"Sekarang ini kita tidak memulakannya lagi tetapi kita akan cari satu formula untuk kita berikan insentif yang serupa kepada atlet paralimpik kita," kata menteri berkenaan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery berkata tahap daya saing acara sukan paralimpik berbeza dan dilihat lebih mudah atlet untuk mendapat peluang. "Acara sukan paralimpik mempunyai banyak kategori bagi satu acara. Daya saingnya agak berbeza. Ini tidak bermakna kita merendah-rendahkan mereka tetapi sepatutnya peluang bagi mereka dalam acara paralimpik ini lebih mudah berbanding yang lain (atlet normal).

"Kita akan fikirkan apakah caranya (untuk beri insentif) supaya apa yang kita berikan itu adalah sesuatu yang boleh diberikan secara berpanjangan," katanya.

Beliau ditemui pemberita selepas majlis penyampaian Skim Hadiah Kemenangan Sukan (Shakam) dan berbuka puasa Majlis Sukan Negara (MSN) di Dewan Komanwel, MSN, Bukit Jalil semalam.

Pada majlis itu, pemanah paralimpik negara Mohamad Salam Sidik, yang melayakkan diri ke Sukan Paralimpik London, menerima habuan berjumlah RM6,000 di bawah Shakam selepas meraih pingat gangsa dalam acara recurve individu W1/W2 lelaki di Kejohanan Memanah Para Dunia di Torino, Itali, Julai lepas.

Bagaimanapun, tiada insentif khas untuk Sukan Paralimpik diberikan kepadanya walaupun telah melayakkan diri secara merit ke temasya sukan terbesar dunia bagi atlet Orang Kelainan Upaya itu.

Pada majlis yang berlangsung semalam, penerjun kebangsaan Pandelela Rinong Pamg dan Bryan Nickson Lomas masing-masing menerima Skim Insentif Sukan Olimpik (Siso) berjumlah RM24,000.

Daripada jumlah itu, kedua-dua atlet terjun itu masing-masing akan menerima bayaran insentif Siso berjumlah RM2,000 setiap bulan sehingga Sukan Olimpik berlangsung.

Pandelela dan Bryan adalah dua atlet terbaru yang melayakkan diri secara merit ke Sukan Olimpik London selepas pasukan memanah recurve lelaki.

Temasya Sukan Olimpik akan berlangsung pada 27 Julai hingga 12 Ogos, manakala Sukan Paralimpik akan berlangsung pada 29 Ogos hingga 9 Sept tahun depan. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan