Misi Raih Emas Pertama Di Shenzhen

Diterbitkan: Selasa, 9 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SHENZHEN: Usaha untuk meraih satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa menjadi fokus utama 180 atlet mahasiswa negara yang menggalas cabaran negara di temasya Sukan Universiti Dunia (Universiade 2011) yang berlangsung di sini dari 12 hingga 24 Ogos ini.

Pencapaian tertinggi yang pernah diraih oleh atlet mahasiswa negara ke temasya dwi-tahunan pada edisi 2007 di Bangkok, Thailand ialah menerusi Chee Chew Chan yang menyumbang pingat perak pertama negara dalam acara taekwondo.

Slogan 'Malaysia Hebat' dan penyertaan beberapa atlet kebangsaan yang mengiringi kontinjen negara dalam misi untuk meraih pingat emas pertama dilihat sebagai sesuatu yang realistik.

Walaupun tidak meletakkan sandaran khusus kepada atlet, sasaran pingat diletakkan kepada acara menembak, berbasikal, terjun, renang dan badminton.

Antara atlet kebangsaan yang turut bersama kontinjen negara ialah Pandelela Rinong (terjun), Leong Mun Yee (terjun), Bryan Nickson Lomas (terjun), Khoo Chai Lin (renang), Zulfadli Zulkifli (badminton), Wan Khalmizam Wan Abd.Aziz (memanah) dan Cheng Chu Sian (memanah).

Kontinjen Malaysia akan mengambil bahagian dalam 13 daripada 24 acara sukan yang dipertandingkan iaitu olahraga dengan 24 atlet, renang (7), terjun (11), taekwondo (9), lawan pedang (6), catur (10), gimnastik (8), bola sepak (24), badminton (9), menembak (19), berbasikal (8), golf (9) dan memanah (15).

Ketua kontinjen negara Prof Dr Shaharudin Abdul Aziz berkata beliau yakin dengan kemampuan semua atlet untuk mencapai sasaran satu pingat emas, satu perak dan satu gangsa memandangkan kontinjen negara disertai beberapa atlet kebangsaan yang telah melakar nama di arena sukan dunia.

"Saya harap semua atlet yang dipilih tidak cepat patah semangat ketika beraksi nanti.

"Sekiranya gagal meraih sebarang pingat sekalipun jangan pulang dengan tangan kosong, sebaliknya dapat memperbaiki rekod peribadi sudah memadai kerana bukan calang-calang atlet yang mengambil bahagian dalam kejohanan ini," katanya kepada Bernama Isnin.

Beliau berkata bagi atlet kebangsaan yang telah melayakkan diri ke temasya sukan Olimpik London 2014, Shenzhen adalah medan pemanas badan untuk mereka.

"Ramai juga atlet handalan dunia yang telah layak ke Olimpik London 2012 turun padang dan ini adalah peluang terbaik untuk atlet kebangsaan bersaing dengan mereka," katanya.

Shaharudin berkata ini juga adalah salah satu daripada usaha Kementerian Pengajian Tinggi untuk mencapai misi 30 atlet negara terdiri daripada pelajar Institusi Pengajian Tinggi dan menjayakan dasar kerajaan 1Murid 1Sukan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan