Enam Pemain Sertai Kejohanan Dunia Tenpin Boling Di Hong Kong

Diterbitkan: Isnin, 8 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Dua pemain tenpin boling wanita kebangsaan Zandra Aziela Ibrahim Hakimi dan Zatil Iman Abdul bakal menyambut Aidilfitri di perantauan bagi menyahut cabaran negara di Kejohanan Dunia Wanita di Hong Kong pada 3 hingga 12 September depan.

Zandra Aziela dan Zatil Iman Abdul bersama empat lagi rakan, Esther Cheah, Sharon Koh, Jacqueline Jenelee Sijore serta Sin Li Jane akan menyertai kejohanan itu sebagai 'pemanas badan' sebelum menghadapi temasya Sukan SEA di Indonesia mulai 11 hingga 25 November ini.

Zandra Aziela, 25, berkata meskipun terpaksa menyambut hari raya di perantauan tanpa keluarga, perkara itu tidak akan melemahkan semangatnya untuk menggalas cabaran dan tanggungjawab kepada negara.

"Walaupun sedih beraya tanpa keluarga di sisi, saya tetap akan menggalas tugas demi negara," katanya.

Beliau dan rakan sepasukan di bawah kendalian jurulatih Holloway Cheah akan berlepas ke Hong Kong pada hari raya pertama atau kedua sebagai persiapan awal bertanding di sana.

Katanya, mereka telah dimaklumkan mengenai senarai akhir atlet ke kejohanan dunia itu semalam oleh Kongres Tenpin Boling Malaysia walaupun keputusan rasminya diumumkan Isnin.

Kejohanan dwitahunan itu, yang berlangsung di Hong Kong Bowling City, turut disertai Singapura, Indonesia, Korea, Jepun, England dan Amerika Syarikat.

Zandra Aziela, yang bakal menyertai kejohanan itu buat kali ketiga, berkata skuad negara tidak meletakkan harapan tinggi untuk merangkul pingat pada kejohanan itu, namun berharap mampu mengekalkan pingat emas dalam acara berpasukan.

"Saingan kali ini dilihat sengit kerana pencabar terdekat pasukan negara seperti Korea Selatan, England dan Amerika Syarikat, pasti telah membuat persiapan rapi, tetapi saya percaya kita mampu mengekalkan pingat emas dalam acara berpasukan.

"Selain itu, negara Asia seperti Thailand dan Singapura tidak harus dipandang mudah dalam tenpin boling kerana mereka kini berada di kedudukan memberangsangkan," katanya.

Malaysia memenangi pingat emas acara berpasukan menerusi gandingan Zandra Aziela, Ester, Sharon, Wendy Chai, Shalin Zulkifli dan Choi Poh Lai pada Kejohanan Dunia Wanita 2009 di Las Vegas, Amerika Syarikat.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan