Ping Pong Mahu Baiki Kutipan Pingat Di Sukan SEA Indonesia - Sukan Ekstra | mStar

Ping Pong Mahu Baiki Kutipan Pingat Di Sukan SEA Indonesia

Diterbitkan: Jumaat, 5 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Ping Pong Malaysia berharap dapat memperbaiki kutipan pingat pada Sukan SEA ke-26 di Indonesia, November ini.

Setiausaha Kehormat persatuan Chan Foong Keong berkata walaupun acara berpasukan digugurkan tahun ini, pasukan itu masih berharap untuk memperbaiki kutipan atau sekurang-kurangnya mengekalkan kutipan temasya lepas.

"Acara berpasukan menyumbang satu pingat gangsa kepada Malaysia, satu kerugian kerana pada temasya kali ini acara tersebut digugurkan," katanya kepada Bernama, di sini Rabu.

Pada temasya lepas yang berlangsung di Laos, skuad ping pong negara menyumbang tiga pingat gangsa menerusi acara perseorangan wanita, beregu wanita dan acara berpasukan.

Chan berkata sebagai persediaan menghadapi temasya kali ini, atlet ping pong kini giat menjalani latihan di Kompleks Sukan Negara di Bukit Jalil.

Selain itu, Chan berkata skuad ping pong akan turut diperkuat pemain berpengalaman, Beh Lee Wei.

Beh yang berada pada ranking ke-65 Asia dan 112 dunia memungut tiga pingat gangsa pada Sukan SEA 2009.

Sementara itu, Chan berkata seramai enam anggota skuad kebangsaan akan menyertai Kejuaraan Ping Pong Asia ke-20 di Beirut, Lebanon pada 12-18 Sept ini.

"Kejuaraan di Beirut adalah sebahagian persiapan skuad negara sebelum beraksi di Indonesia," katanya.

Tanpa sasaran tinggi pada kejohanan yang akan turut disertai kuasa ping pong dunia seperti China, Korea Selatan dan Jepun, Chan berkata atlet negara akan beraksi dalam tujuh kategori iaitu perseorangan (lelaki, wanita), beregu (lelaki, wanita), beregu campuran dan berpasukan (lelaki, wanita).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan