Hilang Satu Pingat Emas Di Universiade Bukan Kerugian Besar - Zolkples

Diterbitkan: Selasa, 2 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PUTRAJAYA: Hilang satu pingat emas pada Sukan Universiti Dunia (Universiade) ekoran penarikan diri jaguh lumba basikal kebangsaan Mohd Azizulhasni Awang, bukanlah satu kerugian yang besar, kata Pengarah Majlis Sukan Negara (MSN) Datuk Zolkples Embong.

Beliau berkata apa yang lebih penting 'Pocketrocketman' itu kembali pada prestasi terbaiknya dan bersedia untuk pusingan kelayakan Olimpik di London tahun depan.

"Kita harus hormati keputusan tersebut. Kita juga sedia maklum bahawa Azizul baru saja pulih dari kecederaan dan baru sahaja mengikuti latihan.

"Jika beliau mahu menyertai sebarang pertandinganpun, pada saya, bukanlah pertandingan yang besar seperti Sukan Universiti itu," katanya pada sidang akhbar berhubung Laporan Pencapaian Piala Monsun 2010 di sini, Selasa.

Zolkples berkata jurulatih John Beasly pasti ada perancangan tersendiri untuk Mohd Azizul dan beliau lebih suka jika anak buahnya itu memberi tumpuan terhadap pusingan kelayakan ke Olimpik.

Universiade yang bakal berlangsung di Shenzen, China pada 12 hingga 24 Ogos ini, turut melibatkan atlet elit seperti Pandelela Renong (terjun), Leong Mun Yee dan Bryan Nickson Lomas, Khoo Cai Lin (renang) serta Zulfadli Zulkifli (badminton).

Kontinjen negara akan mengambil bahagian dalam 13 jenis sukan di Universiade iaitu renang, terjun, badminton, catur, berbasikal, bola sepak, gimnastik, golf, lawan pedang, memanah, menembak, olahraga dan taekwondo. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan