Peluang Atlet Angkat Berat Wakili Negara Ke Sukan SEA Masih Terbuka - PABM

Diterbitkan: Isnin, 1 Ogos 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Atlet angkat berat yang tidak berada dalam skuad elit atau pelapis negara masih berpeluang mewakili Malaysia ke Sukan SEA di Indonesia November ini, jika mencatatkan rekod yang baik pada Kejohanan Angkat Berat Kebangsaan Sirkit 2 bulan depan.

Presiden Persekutuan Angkat Berat Malaysia (PABM) Zafarul Akbar Kassim berkata PBAM mahu memberi peluang kepada atlet bukan pilihan beraksi di temasya itu, meskipun senarai atlet yang bakal bertanding pada Sukan SEA telah siap.

Bercakap kepada Bernama, Zafarul berkata keputusan itu susulan beberapa atlet bukan pilihan yang membuat kejutan pada kejohanan sirkit pertama di Bangi, Selangor.

"PABM melihat ini satu perkembangan yang baik dan melalui penganjuran sirkit 2 mungkin ada atlet yang layak diserapkan dalam skuad negara untuk bertanding pada Sukan SEA ke-26," katanya.

Zafarul berkata Majlis Olimpik Malaysia juga membenarkan PABM menganjurkan sirkit kedua itu sebagai kejohanan kelayakan ke Sukan SEA, yang harus diadakan sebelum 25 Sept iaitu tarikh akhir senarai atlet dihantar. "PABM tidak mengira sama ada atlet tersebut adalah atlet elit ataupun atlet pelapis, sesiapa yang menunjukkan prestasi terbaik akan ada tempat dalam skuad kebangsaan," katanya.

Pada Sukan SEA ke-25 di Laos, pasukan angkat berat berjaya memungut tiga perak dan dua pingat gangsa.

Sementara itu, Zafarul berkata Persekutuan Angkat Berat Antarabangsa (IWF) memuji penganjuran Kejohanan Angkat Berat Remaja Lelaki ke-37 dan Remaja Wanita Ke-17 Dunia yang berlangsung di Arena Sukan Antarabangsa Pulau Pinang pada 30 Jun hingga 7 Julai lepas.

"IWF dalam mesej kepada PABM mengucapkan tahniah atas kejayaan penganjuran dan menyifatkan kejohanan yang berlangsung di Malaysia itu terbaik dalam sejarah penganjuran," katanya.

Zafarul berkata walaupun atlet angkat berat Malaysia gagal merangkul sebarang pingat pada kejohanan tersebut, namun beberapa atlet berjaya membuat catatan peribadi terbaik.

Kejohanan Angkat Berat Remaja Lelaki ke-37 dan Remaja Wanita Ke-17 Dunia dianjur Persatuan Angkat Berat Amatur Pulau Pinang dengan kerjasama Persekutuan Angkat Berat Malaysia, Majlis Sukan Pulau Pinang dan Majlis Perbandaran Pulau Pinang. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan