Sukan (Terjun): Pandelela, Mun Yee Mahu Layak Acara 10M Platform Seirama Sukan Olimpik 2012

Diterbitkan: Ahad, 31 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mempunyai peluang cerah pada temasya Sukan Olimpik London 2012 dalam acara terjun sekiranya gandingan Pandelela Rinong dan Leong Mun Yee mampu melayakkan diri secara merit dalam acara 10 meter platform seirama wanita.

Bagaimanapun, gandingan itu terpaksa menunggu peluang kelayakan dalam acara berkenaan pada Piala Dunia Terjun Persekutuan Renang Antarabangsa (FINA) pada awal tahun depan di London.

Sukan Olimpik London akan bermula 27 Julai 2012.

Meskipun telah menempah tiket ke Sukan Olimpik dalam acra 10 meter platform individu, Pandelela, 18, mengakui masih bimbang dengan peluang bersama Mun Yee untuk melayakkan diri dalam acara seirama itu.

Ratu terjun negara itu telah mengesahkan tiket ke Sukan Olimpik selepas menamatkan saingan dalam kelompok 12 penerjun terbaik pada Kejohanan Akuatik Dunia di Shanghai, China, pada 20 Julai lalu.

Pandelela bagaimanapun optimis rakan segandingannya yang berusia 27 tahun itu tidak akan menghadapi masalah untuk melepasi had kelayakan ke London.

"Walaupun saya telah layak ke London bersama Bryan (Nickson Lomas) bagi acara individu, saya tetap gusar bagi acara seirama ini bersama Mun Yee yang masih belum menempah ke Sukan Olimpik.

Pandelela berkata beliau meletakkan sandaran pingat pada acara 10 meter platform seirama kerana peluangnya lebih cerah berikutan pasukan China hanya membariskan satu penyertaan dalam acara itu berbanding acara kegemarannya 10m platform individu.

"Sekiranya gagal untuk layak dalam acara 10 meter platform seirama, ia akan menjejaskan peluang kita untuk menghadiahkan pingat buat negara," katanya kepada Bernama ketika ditemui di Bukit Jalil di sini Ahad.

Bakal membuat penampilan kedua selepas Sukan Olimpik Beijing 2008, Pandelela berkata secara peribadi beliau meletakkan sasaran pingat pada kedua-dua acara itu tetapi ia bergantung kepada prestasi dan kemampuan semasanya.

Katanya, penerjun China merupakan pencabar terkuatnya setakat ini dan berazam mahu memecah monopoli negara Tembok Besar itu.

"Sukan terjun ini adalah sukan subjektif. China telah mempunyai nama dan tahap tertentu pada pandangan juri dan ini sedikit sebanyak mempengaruhi pemarkahan.

"Saya rasa dengan perbanyakkan sertai kejohanan boleh mempamerkan nama saya dikenali juri dan seiring dengan penerjun China," katanya.

Biarpun sudah menyertai pelbagai kejohanan antarabangsa, Pandelela buat pertama kalinya akan menyertai Sukan Universiti Dunia (Universiade) di Shenzhen, China, dari 12 hingga 23 Ogos ini selepas bergelar penuntut pra universiti jurusan Sains Sukan di Sekolah Sukan Bukit Jalil.

Anak jati Sarawak itu bagaimanapun tidak meletakkan sebarang sasaran pada penyertaan pertama beliau pada temasya Universiade itu.

"Jadual kini makin padat dan saya terpaksa membahagikan masa sebaiknya antara belajar dan latihan. Ini sedikit sebanyak mengganggu proses pembelajaran saya namun saya masih dapat mengikutinya," katanya.

Selepas Universiade, beliau akan meneruskan latihan di bawah bimbingan jurulatih China yang mendapat kerakyatan Australia, Yang Zhu Liang, untuk persiapan bagi menghadapi temasya Sukan SEA di Palembang dan Jakarta, Indonesia pada November ini. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan