Najib Bangga Walaupun Malaysia Tewas Kepada Singapura

Diterbitkan: Jumaat, 29 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JITRA: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak tetap berbangga dengan pemain kebangsaan walaupun Malaysia tewas kepada Singapura dalam saingan kelayakan Piala Dunia 2014 zon Asia.

Singapura layak ke pusingan seterusnya dengan agregat 6-4. Pada perlawanan kedua di Stadium Nasional Bukit Jalil malam ini, kedua-dua pasukan terikat 1-1.

Beliau dan isteri, Datin Seri Rosmah Mansor yang menghadiri jamuan makan malam 'Perdana Menteri Bersama Rakyat' di Dewan Wawasan di sini turut menyaksikan siaran langsung perlawanan itu melalui layar besar yang dipasang dalam dewan.

Kira-kira 2,000 orang yang menghadiri jamuan itu turut bersorak bersama Perdana Menteri apabila penyerang kebangsaan, Mohd Safee Sali menyumbat gol tunggal negara pada minit ke-57.

Najib, yang melakukan lawatan sehari ke Kedah, Khamis, ketika ditemui pemberita selepas perlawanan berakhir, melahirkan kebanggaannya terhadap semua pemain kerana telah berusaha habis-habisan.

"Pasukan kita menghadapi tugas amat berat dan laluan sukar disebabkan defisit dua gol selain Singapura menguatkan pertahanan setelah menang 5-3 di gelanggang mereka minggu lepas.

"Bagaimanapun saya berbangga dengan mereka dan berharap ini bukan perjuangan terakhir. Saya mahu semua pemain mengambil iktibar daripada kekalahan ini untuk terus berusaha memperbaiki prestasi pada masa depan," katanya yang berpuas hati dengan semangat juang pemain. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan