Piala Razak (Hoki ): Penyandang Juara KL, Tentera, Pahang Dan Terengganu Layak Ke Separuh Akhir

Diterbitkan: Rabu, 27 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Penyandang juara Kuala Lumpur, Angkatan Tentera, Pahang dan Terengganu layak ke separuh akhir divisyen satu Kejohanan Hoki Piala Razak ke-49 di Bukit Serindit di sini malam Selasa.

Pahang mengejutkan naib juara edisi lepas Perak 4-1 untuk menjuarai Kumpulan B sementara Terengganu dan tuan rumah Melaka seri 2-2 untuk Terengganu muncul naib juara kumpulan.

Pahang membolosi gawang Perak seawal minit kedua menerusi jaringan gol oleh ketua pasukan, Ismail Abu sementara tiga gol lagi diperolehi pada babak kedua oleh Muhamad Hafiz Zainul (minit ke-43), Ahmad Kamirul Nasaruddin (minit ke-54) dan Mohd Aminuddin Abu (minit ke-63).

Jaringan tunggal Perak yang cuma memerlukan keputusan seri menentang Pahang untuk layak ke separuh akhir diperolehi pada minit ke-54 oleh ketua pasukan, Azlan Misron.

Terengganu yang buat kali pertama bermain di divisyen satu terpaksa berhempas pulas, bangkit setelah ketinggalan 0-1 dan mendahului 2-1 Melaka sebelum gol jaringan akhir oleh pemain Melaka Amirullah Zainol mengikat kedudukan 2-2.

Tuan rumah yang memerlukan kemenangan dengan kelebihan tiga gol untuk memintas Terengganu dalam peringkat kumpulan mendahului 1-0 pada minit ke-25 menerusi gol oleh B.Namasiyam.

Bagaimanapun, Terengganu yang dibarisi oleh empat pemain kebangsaan, menyamai kedudukan 1-1 menerusi jaringan Khairul Nizam Mohd Rani pada minit ke-60 dan mendahului 2-1 hasil jaringan Mohd Shafiq Amir Kamaruddin sebelum jaringan minit akhir tuan rumah.

Pengurus pasukan Terengganu, Mohamad Soberi Salleh berkata pasukannya yang menduduki tempat ketiga divisyen dua pada tahun lepas menjangkakan saingan sengit pasukan Melaka selaku tuan rumah untuk ke separuh akhir.

"Apa pun, kami bersyukur kerana kali pertama layak ke separuh akhir esok menentang juara Kumpulan A, Kuala Lumpur yang juga penyandang juara dan mengharapkan yang terbaik," katanya.

Kedua-dua Pahang dan Terengganu terikat tujuh mata daripada tiga perlawanan tetapi jaringan gol berpihak kepada Pahang untuk muncul juara kumpulan B dan akan bertemu Angkatan Tentera yang menduduki tempat kedua Kumpulan A. Kuala Lumpur berhempas pulas sebelum menewaskan Angkatan Tentera 3-2 pada perlawanan terakhir malam ini.

KL mendahului 2-0 menerusi Kelvinder Singh (minit ke-6), Mohd Hafiz Zakaria (minit ke-34) sebelum pemain Tentera Razali Mohd Hazemi merapatkan kedudukan 1-2.

Mohd Ramadhan Rosli melebarkan jaringan 3-1 kepada penyandang juara menerusi gol pada minit ke-59 sebelum jaringan minit ke-69 oleh Zaini Sarip menentukan pasukan Tentera muncul naib juara Kumpulan A mengatasi Pulau Pinang.

Terdahulu, Pulau Pinang memperolehi kemenangan 4-2 mengatasi Johor, pasukan Pulau Mutiara itu terikat empat mata dengan Angkatan Tentera tetapi tersingkir ke tempat ketiga.

Sementara itu, pada perlawanan separuh akhir divisyen dua yang juga akan berlangsung esok, juara Kumpulan A Selangor akan bertemu naib juara Kumpulan B, Kedah manakala juara Kumpulan B Negeri Sembilan akan menentang naib juara Kumpulan A, Perlis.

Perlawanan akhir bagi menentukan juara divisyen satu dan divisyen dua akan berlangsung Khamis ini. – BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan