Sepak Takraw (Piala Dunia Istaf): Tekong Berhijab Tidak Kekok Buat Libasan

Diterbitkan: Jumaat, 22 Julai 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: 'Hijab' dan pakaian yang menutup aurat tidak menghalang tekong dari skuad wanita Indonesia, Cahaya Permata Fahrani membuat libasan kencang ketika beraksi di Kejohanan Sepak Takraw Piala Dunia Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2011 yang berlangsung di Stadium Titiwangsa, Jumaat.

Cahaya Permata, 18, berkata beliau tidak merasa kekok walaupun memakai 'hijab' dan seluar panjang ketika beraksi di mana-mana kejohanan sekalipun.

“Sebagai Muslimah saya rasa bangga beraksi di gelanggang tanpa mendedahkan aurat," katanya kepada pemberita di sini Jumaat.

Beliau yang mula berjinak dengan sukan sepak takraw pada 2006 berkata pada pendapatnya tidak menjadi kesalahan wanita Muslim bertudung aktif dalam sukan selagi menjaga aurat seperti yang disyariatkan oleh agama Islam.

Atlet Indonesia yang berasal dari Sumatera Selatan itu berkata beliau mula memakai 'hijab' pada 2007 sebagai menunaikan nazarnya terpilih menyertai Sukan Kejohanan Olahraga Nasional Indonesia (PONI) 2007.

Cahaya Permata yang belajar di Universiti Sri Wijaya, Kalimantan itu berkata impiannya selepas ini adalah untuk beraksi di temasya Sukan SEA, Indonesia pada hujung tahun ini.

Skuad sepak takraw wanita Indonesia terpaksa pulang awal kerana gagal melangkah ke peringat suku akhir setelah tewas dua kali kepada China pada perlawanan saingan pertama semalam dengan mata 1-3 dan 0-3 pada perlawanan saingan kedua hari ini.

Manakala skuad wanita Malaysia akan mula beraksi pada perlawanan suku akhir esok. – BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan