Asum Akan Senarai Penerjun Ke Sukan SEA Indonesia Selewat-Lewatnya September Ini

Diterbitkan: Khamis, 30 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Persatuan Renang Amatur Malaysia (Asum) hanya akan menyenaraikan penerjun bagi menggalas cabaran negara di temasya Sukan SEA Palembang dan Jakarta selewat-lewatnya September depan.

Setiausaha Kehormatnya, Edwin Chong berkata walaupun persatuan lain akan menyenaraikan atlet mereka pada hujung Julai ini, Asum tidak akan berbuat demikian.

"Ini kerana kita masih mempunyai beberapa kejohanan penting dalam dan luar negara yang menjadi medan terbaik bagi menghadapi saingan Sukan SEA nanti.

"Kita akan memilih antara penerjun terbaik dan benar-benar sedia bagi membawa pulang pingat dalam edisi kali ini," katanya kepada Bernama pada Khamis.

Chong berkata senarai penerjun akan diserahkan kepada Jawatankuasa Pemilihan Majlis Olimpik Malaysia (MOM).

Pada Sukan Sea 2009 di Vientiane, Laos skuad terjun menyumbang enam pingat emas, satu perak dan dua gangsa.

Antara kejohanan yang menjadi tumpuan penerjun negara ialah Kejohanan Dunia Persekutuan Renang Antarabangsa (Fina) ke-14 di Shanghai, China pada 16 hingga 31 Julai ini.

Chong berkata selain sebagai persediaan menghadapi Sukan SEA Palembang dan Jakarta, kejohanan itu penting kepada mereka kerana memberi tiket untuk layak ke Sukan Olimpik London 2012.

"Daripada kejohanan ini, 12 penerjun terbaik yang berjaya melangkah ke peringkat akhir secara automatik akan melayakkan diri ke Sukan Olimpik London," katanya.

Berdasarkan prestasi semasa, Chong melihat ratu terjun negara Pandelela Rinong mampu berada dalam kelompok 12 penerjun terbaik itu.

"Saya yakin dengan kemampuan Pandelela kerana dia mempunyai semangat juang yang tinggi dan sentiasa berusaha melakukan yang terbaik.

"Dari segi saingan, kita juga mempunyai peluang yang cerah untuk menyaingi penerjun dari China, yang sentiasa mendominasi acara terjun. Berdasarkan prestasi penerjun kita dengan negara itu, perbezaannya tidaklah begitu ketara," katanya.

Pada Kejohanan Terjun Dunia Fina Siri 1 di Moscow, Rusia pada 18 hingga 19 Mac lepas, Pandelela berjaya meraih pingat perak pertama buat Malaysia melalui acara kegemarannya, 10 meter platform wanita.

Seminggu selepas itu, Pandelela sekali lagi meraih pingat perak bergandingan dengan penerjun senior, Leong Mun Yee dalam acara 10 meter platform serentak wanita pada siri kedua kejohanan sama di Beijing, China.

Pemenang pingat emas Sukan Komanwel New Delhi 2010 itu bagaimanapun hanya berpuas hati dengan kedudukan keempat pada dua siri kejohanan berikutnya di Sheifield, England (15-16 April) dan Guanajuato, Mexico (22-23 April). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan