Lapan Atlet Mendayung Terengganu Diserap Ke Skuad Kebangsaan - Sukan Ekstra | mStar

Lapan Atlet Mendayung Terengganu Diserap Ke Skuad Kebangsaan

Diterbitkan: Rabu, 29 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Seramai lapan atlet mendayung Terengganu telah disenaraikan untuk mengikuti latihan pusat pasukan kebangsaan bagi persediaan menghadapi Sukan Sea 26 di Indonesia, November ini.

Ketua Jurulatih Persatuan Mendayung Terengganu (Perdata) Sulaiman Hussin berkata atlit berkenaan dipilih oleh Persatuan Mendayung Malaysia (Perdama) berdasarkan prestasi masing-masing pada Sukan Malaysia baru-baru ini.

"Kita merasa bangga kerana ini kali pertama atlit-atlit mendayung dari Terengganu dipilih untuk mengikuti latihan pasukan kebangsaan," katanya ketika dihubungi di sini,Rabu.

Beliau berharap atlet pendayung Terengganu akan membawa pulang pingat dan sekaligus mengharumkan nama negara negara di sukan tersebut.

Pasukan Mendayung Terengganu memenangi lima pingat emas, satu perak dan dua gangsa pada Sukan Malaysia baru-baru ini, katanya.

Sulaiman yang juga bekas atlet mendayung kebangsaan berkata sekarang ini pendayung-pendayung itu menjalani latihan intensif di Kuala Ibai di sini, bagi mengekalkan prestasi masing-masing.

Beliau berkata pasukan mendayung kebangsaan akan menjalani latihan pusat di Empangan Batu, Ulu Yam, Selangor tidak lama lagi.

Dalam perkembangan lain, beliau berkata Perdata sedang memohon daripada kerajaan negeri untuk menggunakan Tasik Kenyir sebagai tempat latihan atlet-atlet mendayung.

Menurutnya ini kerana tasik buatan manusia itu sesuai untuk dijadikan gelanggang latihan kerana kawasannya luas dan selamat.

Sementara itu, Perdata dengan kerjasama Pejabat Belia dan Sukan akan menganjurkan klinik mendayung kepada remaja di Pulau Duyong mulai 15 hingga 17 Julai ini.

"Tidak ramai yang mengetahui kewujudan sukan mendayung kerana ia merupakan sukan baru di negeri ini," katanya.-BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan