Lapan Kontinjen Bersaing Pada Karnival Sukan UMNO NS 2011

Diterbitkan: Isnin, 13 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SEREMBAN: Kira-kira 800 peserta dari lapan bahagian Umno Negeri Sembilan akan menyertai Karnival Sukan Umno Negeri Sembilan 2011 akan berlangsung di sini selama dua hari mulai 25 Jun ini.

Setiausaha Badan Perhubungan Umno Negeri Datuk Hasim Rusdi berkata lima acara akan dipertandingkan pada karnival itu iaitu golf, futsal, bola jaring, badminton dan boling.

"Karnival sukan ini bertujuan menyatukan dan merapatkan hubungan silaturahim di antara ahli Umno di seluruh Negeri Sembilan," katanya kepada pemberita pada sidang media di sini, Isnin.

Hashim yang juga Pengerusi Jawatankuasa Bertindak Pembangunan Luar bandar, Hal Ehwal Pengguna dan Kemudahan Awam negeri berkata satu majlis jamuan makan malam akan diadakan sempena dengan karnival sukan itu di mana para peserta akan datang bersama-sama keseluruhan kepimpinan di peringkat bahagian.

"Kita juga jemput veteran Umno dan Majlis Bekas Wakil Rakyat (Mubarak) termasuk parti komponen Barisan Nasional (BN) serta pegawai kerajaan.

"Sempena dengan karnival sukan itu, kita juga akan mengadakan kempen pendaftaran pengundi baru dan keahlian Umno pada 17 Jun di pusat membeli-belah Terminal 1 di sini.

"Selepas itu kita berharap seluruh bahagian akan bergerak berterusan untuk mendaftar pengundi baru dan keahlian Umno. Di Negeri Sembilan sebenarnya terdapat 120,000 orang yang berumur 21 tahun ke atas yang masih belum menjadi pendaftar dan 88 peratus daripadanya adalah pengundi Melayu," katanya.

Katanya majlis pelancaran karnival tersebut dijangka akan disempurnakan oleh Naib Presiden Umno Datuk Seri Mohd Shafie Apdal bersama Pengerusi Badan Perhubungan Umno Negeri Sembilan yang juga Menteri Besar Datuk Seri Mohamad Hasan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan