Tiga Peninju Terengganu Ke Kejohanan Piala Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 12 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Persatuan Tinju Amatur Terengganu (PTAT) menyenaraikan tiga peninju untuk membawa cabaran Terengganu pada kejohanan tinju Piala Malaysia di Seremban, Negeri Sembilan mulai 19 hingga 24 Jun ini.

Setiausahanya Razali Mamat berkata salah seorang daripada peninju berkenaan pernah memenangi pingat emas pada kejohanan tinju Datuk Bandar Kuala Lumpur baru-baru ini.

"Kita hantar peninju-peninju yang berkualiti sahaja memandangkan tahap kejohanan ini begitu tinggi," katanya kepada Bernama ketika dihubungi di sini Ahad.

Razali berkata peserta Terengganu terdiri daripada Mohd Hafizuddin Hakim Mohd Zahari bagi kategori (46kg), Mohd Hishamuddin Haris (56kg) dan Muhamad Mazlan (59kg).

Beliau yakin wakil-wakil Terengganu itu mampu pergi jauh dan mempunyai peluang memenangi sekurang-kurangnya pingat gangsa atau perak dalam kejohanan itu nanti.

Katanya peninju-peninju Terengganu itu dilatih dua jurulatih berpengalaman terdiri daripada Ghazali Awang dan Ludin Abas sejak dua bulan lepas.

Kejohanan tahunan itu dianjurkan oleh Persatuan Tinju Malaysia dengan kerjasama Persatuan Tinju Amatur Negeri Sembilan.

Sementara itu, Razali berkata PTAT telah memilih lebih 10 bakat baru untuk persediaan menghadapi Sukan Malaysia tahun depan.

Beliau berkata peninju-peninju itu akan didedahkan dalam beberapa kejohanan tahun ini bagi menimba pengalaman. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan