Sukma (Kabaddi): Selangor Dominasi Acara Kabaddi

Diterbitkan: Sabtu, 11 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Kontinjen Selangor sekali lagi membuktikan kemampuan mereka untuk mendominasi kedua-dua pingat emas yang dipertandingkan dalam acara kabaddi pada temasya Sukan Malaysia ke-14 Kuala Lumpur, Sabtu.

"Kami sememangnya yakin pemain-pemain dapat mengulangi kejayaan pada Sukan Malaysia Melaka tahun lepas. Para pemain telah melakukan persediaan yang baik.

"Persediaan untuk menghadapi Sukan Malaysia kali ini telah dimulakan sejak tahun lepas dan ia membuahkan kemenangan berganda sekali lagi," kata jurulatih Selangor, Akilan.

Pada perlawanan akhir acara kabaddi yang berlangsung di Dewan Utama Sekolah Sukan Bukit Jalil, Selangor terpaksa menghadapi saingan sengit Wilayah Persekutuan dalam kategori wanita sebelum menang 35-27.

Pada separuh masa pertama, Selangor mendahului dengan kelebihan tiga mata, 19-16, bagaimanapun ia tidak mematahkan semangat skuad kabaddi wanita Wilayah Persekutuan untuk terus memberi saingan sengit pada separuh masa kedua.

Berbekalkan semangat yang kental dan pengalaman, Selangor berjaya menambah 16 mata berbalas 11 pada separuh masa kedua untuk meraih pingat emas.

Pingat gangsa dalam acara ini dimenangi bersama oleh Johor dan Pulau Pinang.

Kejayaan skuad wanita itu membangkitkan semangat skuad lelaki untuk meneruskan kecemerlangan Selangor untuk mengalahkan Wilayah Persekutuan, 35-20.

Skuad kabaddi lelaki Selangor yang diketuai Gabrial Johnson, yang pernah beraksi di Sukan Asia Guangzhou tahun lepas, menguasai gelanggang sejak awal permainan.

Mereka mendahului dengan 20-9 pada separuh masa pertama dan kemudiannya menambah 15 mata lagi untuk mengatasi Wilayah Persekutuan dengan 35-20.

Pingat gangsa kategori lelaki dimenangi pasukan Kedah dan Johor. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan