Selangor Rangkul Enam Emas Pada Hari Kesembilan Sukma Ke-14

Diterbitkan: Sabtu, 11 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Selangor melonjak ke tangga ketiga dalam carta pungutan pingat selepas merangkul enam pingat emas pada saingan hari kesembilan temasya Sukan Malaysia ke-14 di sini Sabtu.

Acara ping pong menjadi lubuk emas bagi kontinjen Selangor apabila menyapu bersih tiga butir emas yang ditawarkan dalam acara beregu campuran, beregu wanita dan beregu lelaki.

Selain itu, Selangor memungut dua emas dalam acara renang berirama menerusi Katrina Ann Abdul Hadi dalam acara teknikal solo dan Lee Yhing Huey dalam acara solo bebas.

Pungutan emas Selangor bermula menerusi sukan mendayung oleh Muhammad Aiman Aziz dan Muhammad Nur Afiq Johari dalam acara scull lightweight.

Selangor kini mengumpul 18 emas 16 perak 23 gangsa, menggugat kedudukan Johor di tempat kedua yang meraih 18 emas 17 perak dan tujuh gangsa.

Terengganu menambah dua butir emas menerusi acara mendayung, sekaligus mencengkam kedudukan teratas dalam carta kedudukan dengan 25 emas, enam perak dan 11 gangsa.

Pada Sabtu, 15 pingat emas menjadi rebutan menerusi acara mendayung yang menawarkan lima pingat emas, masing-masing dua dalam acara bola tampar pantai, kabaddi, ping pong dan renang berirama manakala sebutir emas dalam acara bola keranjang dan kriket. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan