Sukma: Johor Raih Emas Dalam Acara Bola Keranjang Wanita

Diterbitkan: Jumaat, 10 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan Johor meneruskan penguasaan juara dua tahun berturut-turut dalam acara bola keranjang wanita apabila meraih emas Sukan Malaysia ke-14 di Stadium Maba, Jalan Hang Jebat di sini Khamis.

Aksi perlawanan akhir menyaksikan Johor mendominasi permainan apabila sekali lagi bertemu Wilayah Persekutuan di peringkat akhir menewaskan cabaran yang juga naib juara tahun lalu di Sukan Malaysia Melaka dengan keputusan 70 berbalas 55.

Bercakap kepada Bernama, jurulatihnya Thoh Chai Ling berkata strategi membuat rombakan pemain selepas suku ketiga perlawanan telah membantu pasukan tersebut menjarakkan lagi mata kemenangan.

"Saya terkejut apabila Wilayah Persekutuan berjaya bangkit menyamakan kedudukan pada suku kedua. Maka pada suku ketiga saya telah mengarahkan mereka bermain secara 'relax' dan ia nyata mengubah corak permainan," katanya selepas perlawanan. Pada aksi suku pertama memperlihatkan penguasaan Johor apabila menjarakkan mata 17 berbalas 8 namun Wilayah Persekutuan bangkit untuk menyamakan kedudukan pada suku kedua dengan membuat penyamaan 29 sama.

Johor memperhebatkan serangan dan berjaya menjarakkan jurang mata dalam suku ketiga dan terakhir dengan kelebihan 15 mata keseluruhannya dalam perlawanan yang berlangsung 40 minit itu.

Thoh juga berkata dua pemain iaitu kaptennya Pang Hui Pin dan R. Kalaimathi yang juga merupakan pemain kebangsaan adalah tulang belakang Johor selain memberi motivasi kepada pemain lain yang kurang berpengalaman.

Sementara itu, perebutan tempat ketiga menyaksikan penguasaan Selangor apabila menundukkan saingan Melaka dengan perbezaan 23 mata untuk mencatat keputusan 62 berbalas 39.

Esok akan berlangsung saingan suku akhir bola keranjang lelaki dan acara akhir akan berlangsung pada Sabtu ini.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan