Silambam Berjaya Paut Hati Remaja Sabah

Diterbitkan: Sabtu, 4 Jun 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Sukan silambam, seni mempertahankan diri tradisi pertempuran tongkat yang popular dalam kalangan masyarakat India di negara ini, kini mendapat sambutan luar biasa masyarakat suku kaum di Sabah.

Keunikan sukan tradisi berusia 5,000 tahun menarik minat beberapa suku kaum di Sabah menguasai seni mempertahankan diri ini.

Maragina Karani, 16, seorang atlet yang mewakili Negeri di Bawah Bayu ke temasya Sukan Malaysia ke-14 yang berlangsung di sekitar Lembah Klang, berkata dia tertarik dengan keunikan seni bela diri itu yang ternyata berbeza dengan sukan tempur lain.

"Saya mula berjinak dengan silambam pada tiga tahun lepas setelah tertarik dengan seni tongkat yang digunakan dalam seni bela diri ini ketika menyaksikan persembahan kebudayaan di sekolah saya," katanya kepada Bernama, Sabtu.

Pelajar Tingkatan Empat Sekolah Menengah Kebangsaan Tabuan, Tenau, Sabah berkata ibu bapanya banyak memberi dorongan untuk bergiat aktif dalam sukan silambam.

"Saya berharap mampu menyumbang pingat emas dalam acara wanita kategori 30kg -35kg yang berlangsung Ahad ini," katanya.

Walaupun berjauhan dengan keluarga, kata-kata semangat daripada keluarganya terutama ibunya, Ambar Langit yang sentiasa menghubunginya melalui panggilan telefon, menjadikanya tabah menghadapi cabaran pada pertandingan.

Rakan sepasukannya Mohd Nizam Jamal, 15, yang gagal meraih pingat emas pada Sukan Malaysia di Melaka pada tahun lepas berazam menebus kekalahan itu.

"Kali ini saya lebih bersedia dan akan lebih berhati-hati apabila menghadapi lawan pada pertandingan petang ini," kata remaja keturunan Melayu Brunei, yang mengambil bahagian dalam acara lelaki 38kg-43kg.

Pelajar Tingkatan Tiga Sekolah Saint Francis Xavier, Keningau, Sabah itu berkata dia lebih yakin pada pertandingan kali ini setelah mengkaji kelemahan pasukan lain sebelum temasya ini bermula. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan