Adiq Hussainie Naik Podium Pada Jelajah Tour De Korea 2011 - Sukan Ekstra | mStar

Adiq Hussainie Naik Podium Pada Jelajah Tour De Korea 2011

Diterbitkan: Rabu, 20 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pelumba basikal negara Mohd Adiq Hussainie Othman melakar sejarah apabila berjaya menaiki podium pada perlumbaan peringkat kelima Jelajah Tour de Korea 2011 (TDK 2011) Selasa.

Mohd Adiq Hussainie menamatkan saingan sejauh 148.50 kilometer dari Danjing ke Chungjun di tempat ketiga serta membantu pasukan negara menduduki tempat pertama peringkat kelima yang dianggap antara laluan paling getir.

Presiden Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM), Abu Samah Abd Wahab, berkata pihaknya gembira dengan perkembangan terkini pasukan negara di bawah bimbingan jurulatih dari Australia, Graham Seers.

Katanya kejayaan itu membuktikan pelumba Malaysia boleh berkayuh dalam keadaan cuaca sejuk di sana.

Katanya pasukan negara menduduki tempat kedua keseluruhan pada peringkat keempat sejauh 137.80km dari Gunsan ke Danjing semalam.

Beliau berkata pelumba negara dilihat lebih menyerlah di TDK 2011 berbanding perlumbaan Le Tour de Langkawi (LTdL) 2011, Jelajah Malaysia 2011, Jelajah Thailand 2011 dan Tour de Taiwan 2011.

Sebelum ini, Mohd Adiq Hussainie, yang merupakan pelumba projek temasya Sukan Olimpik London 2012 dan diikat kontrak dengan Drapac Professional Cycling Team, muncul pelumba terbaik negara setakat ini apabila menduduki tempat ke-13 pada peringkat pertama dari Gumi ke Geochang sejauh 108.10km, Jumaat lepas.

Dalam perkembangan berkaitan, Abu Samah berkata beliau akan meminta Seers yang berpengalaman melatih pasukan kebangsaan Australia, Thailand dan India, supaya segera mengenal pasti punca kegagalan pelumba Ahmad Fakrullah Alias menamatkan perlumbaan pada TDK 2011.

Edisi ke-10 TDK 2011 berstatus 2.2 dalam kalendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI) meliputi sembilan peringkat perlumbaan sejauh 1,335.9km yang menawarkan hadiah wang tunai US$80,000 (RM241,840).

Perlumbaan itu disertai 20 pasukan termasuk pasukan pro benua yang muncul juara berpasukan keseluruhan LTdL 2011, Tabriz Petrochemical Cycling Team. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan