Noh Tersekat Kerana Satu Pukulan - Sukan Ekstra | mStar

Noh Tersekat Kerana Satu Pukulan

Diterbitkan: Sabtu, 16 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Juara bertahan kejohanan golf Terbuka Malaysia Maybank, Noh Seung-yul dari Korea Selatan gagal melayakkan diri untuk terus beraksi pada edisi tahun ini kerana kekurangan satu pukulan.

Noh, 19, pemain termuda yang menjuarai Asian Tour Order of Merit, hanya mencatat par genap 72 untuk mengumpul satu atas par 145 untuk permainan dua hari.

Penganjur kejohanan -- Persatuan Golf Malaysia, Asian Tour dan European Tour -- menetapkan 144 sebagai paras kelayakan.

"Seperti permainan saya pada pusingan pembukaan semalam, pukulan saya hari ini juga teruk dan bola pergi entah ke mana-mana," kata Noh, yang melakar rekod sebagai pemain paling muda yang menjuarai Terbuka Malaysia iaitu ketika berusia 18 tahun.

Noh, yang bermain bersama juara Masters yang baru dinobatkan Charl Schwartzel dan penyandang gelaran juara Terbuka Britain Louis Oosthuizen, berkata dia kecewa kerana tidak berpeluang untuk terus beraksi bersama dua pemain handalan itu pada kejohanan ini yang mendapat pengiktirafan Asian Tour dan European Tour. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan