Rizal Beralih Arah Sertai BMX

Diterbitkan: Isnin, 11 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Aksi Rizal (kanan) ketika menyertai perlumbaan BMX Sirkit Kebangsaan di Ayer Keroh, Ahad.
Aksi Rizal (kanan) ketika menyertai perlumbaan BMX Sirkit Kebangsaan di Ayer Keroh, Ahad.

KUALA LUMPUR: Jika semua berjalan lancar, Mohd Rizal Tisin bakal melakar sejarah berkemungkinan muncul pelumba pertama Malaysia yang bakal memburu pingat Sukan Olimpik 2012 di London dalam dua disiplin berbeza – trek dan BMX.

Rizal kini secara rasmi sudah mula memasuki fasa serius untuk muncul pelumba BMX nombor satu Malaysia dan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (PKBM) atas persetujuan Ketua Jurulatih negara, John Beasley telah memberikan lampu hijau kepada pelumba kelahiran Klang, Selangor itu meneruskan hajatnya.

Presiden PKBM, Abu Samah Abd Wahab menjelaskan beliau telah mengadakan perbincangan rasmi panjang lebar dengan Beasley di Kuala Lumpur baru-baru ini untuk memastikan perubahan acara tersebut tidak menganggu corak latihan pasukan trek negara khususnya kepada pasukan pecut berpasukan Malaysia yang dianggap antara terkuat di Asia ketika ini.

“Rizal mahu berubah angin dengan menyertai sukan BMX. Perlu diingatkan acara satu kilometer ujian masa individu tidak akan lagi dipertandingkan di Kejohanan Sedunia mulai tahun depan. Ia juga bukan lagi acara Sukan Olimpik dan Sukan Asia.

“Sedangkan kita semua tahu bahawa Rizal adalah seorang pelumba acara 1 kilometer ujian masa yang bertaraf dunia. Jadi Rizal mahu meneruskan cita-citanya untuk menang pingat di Sukan Olimpik dalam apa acara sekalipun termasuklah BMX.

“Bagaimanapun perubahan acara ini harus ditangani dengan baik kerana Rizal adalah tonggak Malaysia dalam acara pecut berpasukan. Acara ini masih menjadi sasaran kita di Sukan Asia, Sukan Komanwel dan Kejohanan Lumba Basikal Asia (ACC).

“Kita masih setanding dengan Jepun dan China. Adakalanya Malaysia menang emas dalam acara pecut berpasukan menewaskan Jepun dan China. Bagaimanapun selepas menerima lampu hijau daripada John Beasley, MNCF merestui keinginan Rizal untuk serius bermain BMX.

“Beasley menegaskan Rizal adalah seorang pelumba yang memiliki kepakaran, stamina dan disipilin tinggi untuk berlatih dan menyertai acara trek serta BMX,” katanya dalam satu kenyataan, Isnin.

Buat permulaan, Rizal telah pun menyertai Kejohanan BMX Kebangsaan Sirkit Ke-2 di Taman Botanical Ayer Keroh, Melaka Ahad lalu dan berjaya menduduki tempat ke-4 acara elit lelaki sejauh 320 meter apabila mencatat masa 43.968 saat.

Acara tersebut dimenangi pelumba Pahang, Mohd Aim Mohd Fauzi yang merakam masa 40.934s diikuti Norshahriel Haizat Mohd Nazali (42.030s) dan Muhammad Elmi Jumari (42.803s).

“Keputusan yang dicapai oleh Rizal Ahad lalu adalah satu kejayaan besar. Ini kerana BMX adalah acara taktikal yang melibatkan banyak percaturan. Rizal baru saja beberapa minggu mula berlatih bersama rakan sepelatih seperti Mohd Aim yang sudah lama berlatih acara BMX.

“Jadi saya berpuas hati dengan pencapaian Rizal. Mungkin kita boleh hantar Rizal menyertai Kejohanan BMX Asia di China Mei nanti untuk mengetahui standard pelumba Malaysia dengan pesaing dari Jepun, China, Korea Selatan atau Iran,” katanya.

Acara wanita elit pula terus dikuasai sepenuhnya oleh tiga pelumba Kedah dengan Masziyaton Radzi yang merangkul tempat pertama dengan masa 54.185s diekori Nursyuhaini Othman (54.517s) dan Mardiana Radzi (56.889s).

Pelumba Melaka, Mohd Raudhatul Razman pula menjuarai kategori remaja dengan masa 46.467s diikuti seorang tonggak Melaka, Akmal Abdullah (46.688s) dan Amirun Asraf Abdullah dari Kedah (48.385s).

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan