Sarawak Cemerlang Pada Hari Kedua

Diterbitkan: Sabtu, 2 April 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Perenang Sarawak beraksi cemerlang apabila berjaya melonjak di tangga kedua daripada tangga ke-4 semalam, pada hari kedua Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan Ke-47 di sini pada Sabtu.

Pungutan pingat pada kejohanan di Kompleks Renang Hang Jebat menyaksikan Sarawak menambah 10 pingat emas, 11 pingat perak dan lima pingat gangsa menjadikan jumlah keseluruhan 18 pingat emas, 22 pingat perak dan 15 pingat gangsa.

Ngu Jiung Wei berjaya menyumbang dua pingat emas untuk Sarawak hari ini dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki (umur 11 dan 12 tahun) dengan catatan masa 4 minit 36.33 saat dan dalam acara 100 meter kuak lentang lelaki dengan masa 1 minit 9.34 saat.

Pasukan Sarawak juga berjaya memecahkan tiga rekod kejohanan dimulakan dengan Vernon Lee Jeauzhi dalam acara 400 meter gaya bebas lelaki (umur 15 ke 17 tahun) dengan catatan masa 4 minit 4.47 saat.

Tang Chong Heng menjadi pemecah rekod kedua Sarawak dalam acara 50 meter kuak dada lelaki (umur 13 dan 14 tahun) dengan masa 31.14 saat dan Roydon Ong Yi merupakan pemecah rekod ketiga Sarawak dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu (umur 13 dan 14 tahun) dengan masa 26.57 saat.

Selangor masih di tangga teratas carta pungutan pingat hari ini apabila menambah 10 pingat emas, 13 pingat perak dan 12 pingat gangsa menjadikan pungutan keseluruhan 20 pingat emas, 24 pingat perak dan 24 pingat gangsa.

Selangor memecah dua rekod kejohanan hari ini masing-masing menerusi Lim Ching Hwang dalam acara 400 meter rampaian individu lelaki (umur 13 dan 14 tahun) dengan masa 4 minit 47.21 saat dan Ben Proud dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu lelaki (umur 15 ke 17 tahun) dengan masa 24.85 saat.

Sabah memungut enam pingat emas, tujuh pingat perak dan 11 pingat gangsa hari ini menyaksikan pasukan itu turun ke tangga ketiga daripada tangga kedua semalam dalam carta pungutan pingat dengan pungutan keseluruhan 15 pingat emas, 15 pingat perak dan 19 pingat gangsa.

Perenang berbakat Chris Tan Li Ling terus cemerlang hari ini apabila berjaya memperolehi dua pingat emas masing-masing dalam acara 100 meter kuak lentang wanita (umur 13 dan 14 tahun) dengan masa 1 minit 9.85 saat dan acara 400 meter rampaian individu wanita dengan masa 5 minit 15.15 saat. Semalam Tan menyumbang emas hatrik untuk Sabah.

Perenang negara Foo Jian Beng berjaya memperolehi satu pingat emas dalam acara 50 meter kuak kupu-kupu lelaki terbuka dengan mencatat masa 25.76 saat, Foo menyumbang dua pingat emas untuk pasukan Selangor semalam.

Sebanyak 56 acara dipertandingkan hari ini menghadiahkan 48 pingat emas, 46 pingat perak dan 47 pingat gangsa.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan