Nafizzwan Teruja Dapat Beraksi Di Pusingan Utama Super Series PSA

Diterbitkan: Rabu, 23 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain skuasy lelaki nombor tiga negara, Mohd Nafiizwan Adnan teruja apabila dapat beraksi buat kali pertama dalam pusingan utama kejohanan skuasy Super Series Persatuan Pemain Skuasy Profesional (PSA).

Beliau berjaya mara ke pusingan utama selepas melepasi dua peringkat kelayakan yang berlangsung pada 18 dan 19 Februari lepas.

Pada Isnin lepas, pemain berusia 25 tahun dari Kuala Terengganu itu berjaya melangkah ke pusingan kedua Kejohanan Terbuka Amerika Utara di Richmond, Virginia, Amerika Syarikat.

Pada perlawanan menentang Stephane Galifi dari Itali itu, Mohd Nafiizwan dipaksa bermain dalam lima set yang berlangsung selama 93 minit sebelum memenanginya dengan 6-11, 11-8, 11-5, 6-11 dan 13-11.

"Saya sangat gembira kerana dapat memenangi pusingan pertama di kejohanan besar seperti ini. Ia adalah satu kejayaan buat saya.

"Sebelum ini... dalam banyak penyertaan saya pada Kejohanan Super Series, saya sering tersingkir di pusingan kelayakan," katanya kepada Bernama menerusi laman sosial, Facebook, Rabu.

Katanya kejayaan mengatasi Galifi adalah sesuatu yang mengujakannya kerana beliau terpaksa bermain dengan penuh bersemangat untuk mengatasi lawannya, yang banyak bermain secara taktikal serta keadaan gelanggang kaca yang sejuk.

Mohd Nafiizwan dijadual bertemu pemain nombor lapan dunia dan pilihan keenam kejohanan, Peter Barker dari England dalam pusingan kedua yang dijadualkan berlangsung pada pukul 5 petang waktu tempatan hari ini (pukul 6 pagi waktu Malaysia, Khamis).

"Dia (Barker) adalah seorang pemain berpengalaman. Dia mempunyai cara permainan agak teliti.

"Bagaimanapun, bagi saya setiap cara permainan seseorang ada kelemahannya. Ia akan membantu saya mengatasi beliau. Saya perlu bersabar dan fokus terhadap setiap mata dan permainan menentangnya," kata Mohd Nafiizwan, yang tewas 3-0 kepada Barker di pusingan kelayakan Terbuka Dunia PSA di Arab Saudi pada Disember tahun lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan