Kim Swee Minta Semua Pemain Fokus

Diterbitkan: Rabu, 23 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

JURULATIH Olimpik Malaysia, Ong Kim Swee yakin pemain-pemainnya akan turun menentang skuad Olimpik Pakistan dengan penuh keyakinan dan semangat bagi memburu keputusan selesa menjelang perlawanan pusingan pertama Kelayakan Olimpik 2012 di Stadium Shah Alam, Rabu.

“Mereka telah menjalani latihan bersama sejak seminggu lalu, dan semuanya kini berada dalam keadaan bersedia dari segi mental dan fizikal.

“Moral mereka juga berada dalam keadaan terbaik dan saya yakin mereka sangat bersemangat untuk menentang Pakistan,” katanya ketika ditemui pemberita Selasa.

Biarpun sedar saingan bukan mudah namun, Kim Swee yakin dengan pengalaman pemain-pemain yang telah beraksi untuk banyak kejohanan besar, sasaran untuk menang akan tercapai bagi memberi kedudukan selesa sebelum bertandang ke Pakistan pusingan kedua Mac ini.

“Kunci utama perlawanan ini adalah jaringan gol kerana kita mempunyai ramai pemain-pemain yang bagus dan saya akan tumpukan kepada barisan penyerang. Sekiranya perlu, saya akan menurunkan enam atau tujuh penyerang bagi perlawanan ini.

"Apa yang penting sekarang ialah, saya mahukan semua pemain fokus apa yang akan dilakukan berbanding dengan apa yang Pakistan akan lakukan,” katanya.

Selain itu, Kim Swee berkata pemilihan Khairul Fahmi sebagai kapten pasukan adalah amat sesuai berdasarkan prestasinya yang cemerlang sekali gus menjadi idola kepada pemain-pemain muda lain.

“Dia mempuanyai kualiti tersendiri sebagai ketua pasukan dan dia juga merupakan inspirasi kepada pemain-pemain muda bola sepak tanah air,” katanya.

Memang tidak dinafikan peluang untuk melihat skuad olimpik negara cerah kerana sebahagian pemain-pemain adalah bintang Piala Suzuki AFF baru- baru ini termasuk Khairul Fahmi Che Mat, Muslim Ahmad, Fadhli Shas, Mahali Jasuli, Faizal Muhammad, K.Gurusamay dan Faizal Abu Bakar.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan