Zulmazran Peroleh Pingat Emas Pertama Kejohanan Boling Komanwel

Diterbitkan: Selasa, 22 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Meskipun pergelangan tangannya masih belum pulih sepenuhnya daripada kecederaan, Zulmazran Zulkifli berjaya menyemarakkan semangat pasukan Malaysia di Pyramid Mega Lanes apabila memperoleh pingat emas pertama negara pada Kejohanan Tenpin Boling Komanwel kelima, Isnin.

Zulmazran berkata berikutan kecederaan yang dialami, beliau terpaksa menukar cara permainan bolingnya dan berlatih dengan kaedah baru sejak dua bulan lepas.

"Saya berasa sangat gembira hari ini... bukan sahaja pingat emas pertama untuk Malaysia tetapi juga yang pertama untuk saya sejak 2010. Saya sering kali menduduki tempat kedua pada 2010," kata Zulmazran kepada Bernama.

Dalam persaingan perseorangan lelaki, Zulmazran berjaya melakukan jatuhan 264, 256, 236, 203, 190 dan 277 pin untuk pungutan 1,426 jatuhan pin.

"Pada pertengahan permainan penentuan (permainan keenam), saya memberitahu diri saya bahawa saya tidak mahu mendapat tempat kedua. Saya berusaha bersungguh-sungguh dan berjaya mengatasinya," katanya.

Selepas permainan kelima, Zulmazran mengekori rapat Guillaume Francois Marais Louw dari Afrika Selatan dengan jurang 66 pin.

"Satu yang pasti, saya tahu saya perlu melakukan balingan untuk jatuhan pin yang lebih besar... sekurang-kurangnya 260 jatuhan pin ke atas (untuk menewaskan Louw)," kata Zulmazran mengenai permainan hari ini.

Louw terpaksa berpuas hati dengan pingat gangsa selepas melakukan 1,384 jatuhan pin.

Sementara itu, Neil Sullivan dari Malta meraih perak dengan 1,393 jatuhan pin dan pemain Malaysia, Adrian Ang menduduki tempat keempat dengan 1,345 jatuhan pin.

"Ini merupakan permainan pertama saya dalam Kejohanan Komanwel dan hari ini, saya berusaha memberikan permainan terbaik," kata Sullivan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan