Siti Safiyah Tambah Pingat Emas Malaysia

Diterbitkan: Selasa, 22 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

PETALING JAYA: Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman menambah pingat emas kedua negara menerusi acara perseorangan wanita Kejohanan Tenpin Boling Komanwel ke-5 di Pyramid Mega Lanes, Bandar Sunway, Isnin.

Pingat emas kedua Malaysia itu menyusul selepas Zulmazran Zulkifli meraih pingat emas dalam acara perseorangan lelaki pada sebelah pagi.

Siti Safiyah, yang kembali beraksi tahun ini selepas dibelenggu penyakit Tiroid, mencatat 1,280 jatuhan pin untuk mengatasi pesaing terdekat dari Singapura, Shayna Ng dengan kelebihan 52 pin.

"Ia satu pencapaian yang terbaik buat saya selepas memenangi pingat perak di Abu Dhabi. Permainan saya tidak begitu baik pada dua pusingan (pusingan kedua dan ketiga).

"Saya perlu bekerja keras untuk berada dalam zon yang selamat untuk meraih pingat. Saya mengucapkan terima kasih kepada jurulatih saya, Holloway Cheah, kerana memberi tunjuk ajar untuk saya perbaiki permainan saya," katanya.

Pada acara perseorangan wanita pada Isnin, Malaysia turut meraih pingat gangsa menerusi Zandra Aziela Ibrahim Hakimi yang mencatat 1,224 jatuhan pin.

Kejohanan dua tahun sekali itu disambung hari ini dengan acara beregu lelaki dan wanita.- BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan