Kecederaan Azizul Tidak Begitu Serius: Ahmad Shabery

Diterbitkan: Ahad, 20 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MANCHESTER: Kecederaan yang dialami oleh jaguh trek negara, Azizulhasni Awang tidak begitu serius dan beliau dijangka pulih dengan cepat, kata Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek.

Ahmad Shabery percaya walaupun Azizulhasni cedera di bahagian betis ketika menyertai kejohanan Trek Berbasikal Siri Piala Dunia di sini awal pagi Ahad, beliau masih berpeluang untuk melayakkan diri ke Sukan Olimpik, dan seterusnya berusaha mendapatkan pingat emas pertama untuk negara.

Beliau berkata pemeriksaan doktor mendapati serpihan kayu yang tertusuk di betis kiri Azizulhasni tidak mengenai mana-mana saluran darah utama dan tulang kaki, serta tidak menyebabkan kecederaan serius.

"Doktor akan mengadakan pembedahan bagi mengeluarkan serpihan kayu itu, dan InsyaAllah beliau akan pulih dengan cepat," kata Ahmad Shabery kepada pemberita di Hospital Royal Maschester dekat sini Ahad.

Ahmad Shabery yang dalam lawatan kerja rasmi ke United Kingdom berkata beliau yakin kecederaan itu tidak akan mengganggu usaha Azizulhasni untuk layak ke Sukan Olimpik 2012 kerana keazaman dan ketabahan yang ditunjukkannya.

Azizulhasni walaupun terjatuh dan dengan serpihan kayu menembusi betisnya, telah terus bangun untuk menamatkan perlumbaan, dan telah meraih pingat gangsa dalam acara Keirin hari ini, katanya.

Ahmad Shabery berkata dengan kedudukan itu dan mata yang beliau kumpul, Azizulhasni masih lagi berkedudukan sebagai pelumba nombor satu dalam acara Keirin, dan yakin kedudukan itu akan dapat dikekalkan.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan