ISN Sediakan 46 Pakar Sains Sukan Bantu Program Road To London 2012

Diterbitkan: Khamis, 17 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Institut Sukan Negara (ISN) menyediakan khidmat 46 pakar sains sukan buat tujuh jenis sukan yang berada di dalam program 'Road to London 2012', yang bertujuan mencari emas pertama Malaysia dari Sukan Olimpik.

Ketua pengarahnya Datuk Dr Ramlan Abd Aziz berkata kesemua pakar itu merupakan pasukan khusus bagi menjaga keperluan sains sukan atlet dan jurulatih dari kesemua sukan yang terlibat dalam program tersebut.

"Jumlah anggota pasukan itu dalam negara akan berkurangan apabila atlet yang mereka jaga menyertai kejohanan di luar negara nanti. Keperluan kepakaran sains sukan bagi setiap jenis acara sukan berbeza antara satu sama lain," katanya kepada pemberita di sini, Khamis.

Tujuh sukan yang berada di dalam program 'Road To London' ialah badminton, berbasikal, memanah, terjun, menembak, bolasepak dan hoki.

Bagi badminton, seramai 14 pakar sains sukan disediakan, yang bahagikan kepada dua pasukan dengan setiap pasukan tujuh anggota, kerana jumlah atlet sukan itu yang ramai serta kerap menyertai kejohanan di luar negara.

Berbasikal pula mendapat khidmat 5 pakar, memanah (5), terjun (4), menembak (5), bolasepak (6) dan hoki (7).

Dr Ramlan berkata setiap pasukan itu akan dianggotai oleh pakar-pakar 'conditioning', psikologi, bio-mekanikal, penganalisa perlawanan, pakar pemakanan dan bantuan teknikal.

Beliau berkata bagi Sukan Olimpik London, jumlah pakar sains sukan yang dibawa oleh kontinjen Malaysia bergantung kepada jumlah atlet negara yang layak bertanding pada temasya itu nanti.

"Jumlahnya bergantung kepada kuota yang diberikan oleh penganjur Olimpik London. Lebih ramai atlet Malaysia yang layak bertanding, lebih ramai pakar sains sukan dapat ditempatkan bersama kontinjen di dalam perkampungan sukan.

"Jika jumlah atlet yang layak kecil, kuota bagi pakar sains sukan juga sedikit. Jika mahu tambahan pakar, Majlis Olimpik Malaysia (MOM) terpaksa menempatkan mereka di luar perkampungan sukan yang mungkin melibatkan kos tinggi," katanya.

Dr Ramlan berkata ketika Sukan Olimpik Beijing pada 2008, beliau mengetuai sekumpulan 10 pakar sains sukan bersama 33 atlet dalam kontinjen negara.

"Mungkin ada yang menyifatkan jumlah pakar sains sukan ini terlalu ramai. Mereka sebenarnya tidak faham mengenai keperluan sains sukan terkini seperti keperluan pakar pemakanan, pakar kondisi dan penganalisa perlawanan.

"Tahukah mereka ketika jaguh badminton perseorangan China, Lin Dan memenangi pingat emas di Sukan Olimpik Beijing, pemain itu dibantu oleh tujuh orang pakar sains sukan yang sentiasa bersamanya?" katanya.

Sementara itu Dr Ramlan berkata ISN mewujudkan pangkalan data sebagai sistem pemantauan untuk meneliti graf prestasi atlet.

Menurutnya pelbagai data seperti latihan, perlawanan, pemakanan dan kecederaan atlet akan dimasukkan dalam sistem itu bagi mengenal pasti punca kejayaan atau kegagalan seseorang atlet.

"Dari data-data itu ISN dapat mengenal pasti prestasi sebenar seseorang atlet, sama ada disebabkan faktor kelebihan atau kekurangan dari segi latihan, masalah peribadi atau faktor lain," katanya.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan