Ahmad Shabery Teliti Surat Dikeluarkan KOAM Berhubung Latihan Di Ranau

Diterbitkan: Ahad, 13 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KEMAMAN: Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek akan meneliti surat yang dikeluarkan oleh Kesatuan Olahraga Amatur Malaysia (KOAM) kepada atlet bakal berlatih di Ranau yang dikatakan berbaur ugutan.

Ahmad Shabery berkata beliau akan merujuk perkara itu kepada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) sama ada surat yang dikeluarkan itu merupakan prosedur biasa oleh setiap persatuan sukan dalam mendisiplinkan atlet atau satu tindakan luar batasan.

"Saya akan meneliti surat itu dan akan bincangkan dengan MOM kerana akhirnya yang akan menentukan penyertaan atlet-atlet ke kejohanan besar di luar negara adalah badan tersebut.

"Saya tidak mahu buat penilaian terburu-buru dan tidak mahu bergantung dengan apa yang dilaporkan oleh akhbar semata-mata walaupun akhbar turut menyiarkan surat itu," katanya kepada pemberita selepas menghadiri sambutan Tahun Baru Cina peringkat Parlimen Kemaman di Dewan Berlian Majlis Perbandaran Kemaman (MPK) di sini pada Sabtu.

Akhbar hari ini melaporkan mengenai surat bertarikh 5 Jan yang dikeluarkan oleh KOAM kepada atlet dan jurulatih olahraga, yang meminta atlet yang terlibat dalam latihan persiapan olahraga ke Sukan SEA 2011 di Kompleks Sukan Ranau di Sabah supaya memberi keputusan sama ada menerima ataupun menolak tawaran itu pada atau sebelum 20 Jan lalu.

Mereka yang tidak menerima ataupun tidak memberi maklum balas mengenai tawaran itu dilapor akan disingkirkan secara automatik daripada program di Ranau serta tidak akan dipertimbangkan untuk menyertai mana-mana pertandingan atau latihan dalam dan luar negara.

Mengulas lanjut tentang perkara tersebut, Ahmad Shabery berkata semangat atlet olahraga negara pada masa kini sudah berada di tahap yang rendah dan isu itu dilihatkan melemahkan lagi semangat mereka.

"Saya percaya kita boleh paksa kuda datang ke air, tetapi kita tidak boleh paksa kuda itu minum air. Sama juga dalam soal latihan atlet, kita boleh mengarah mereka untuk pergi ke sana (Ranau), tetapi kita tidak boleh paksa mereka berlatih dengan sepenuh hati," katanya.

Beliau berkata dalam hal ini KOAM sepatutnya turun padang serta lihat sendiri kemudahan yang ditawarkan oleh Kompleks Sukan Ranau dan meyakinkan atlet bahawa kemudahan yang ada di situ adalah terbaik.

Kata Ahmad Shabery, beliau sendiri akan ke Ranau dalam jangka masa terdekat untuk melihat kemajuan pembinaan Kompleks Sukan Ranau sama ada telah bersedia menerima kehadiran atlet atau sebaliknya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan