Kuala Lumpur Hos Kejohanan Sepak Takraw Dunia

Diterbitkan: Jumaat, 11 Februari 2011 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Malaysia mencipta sejarah apabila Kuala Lumpur dipilih menjadi tuan rumah pertama menganjurkan Kejohanan Sepak Takraw Dunia, Persekutuan Sepak Takraw Antarabangsa (Istaf) 2011 buat julung kalinya bermula 21 hingga 24 Julai ini.

Setiausaha Agung Istaf, Abdul Halim Kader berkata, pemilihan Malaysia sebagai tuan rumah pertama diambil kira berdasarkan keyakinan badan induk itu terhadap kepimpinan Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) untuk melaksanakan kejohanan terulung tersebut.

"Dengan melihat kepada rekod penganjuran kejohanan peringkat antarabangsa enam tahun lalu, kejohanan dunia dan kejohanan sepak takraw antarabangsa lapan tahun lalu, kami memberikan kepercayaan sepenuhnya kepada PSM untuk menganjurkan pertandingan itu," katanya ketika berucap pada Majlis Pelancaran 'The 1st Istaf World Cup di sebuah hotel terkemuka di sini pada Jumaat.

Kejohanan dua tahun sekali yang mempertaruhkan hadiah keseluruhan bernilai AS$50,000 (RM153,000) itu dijangka mendapat penyertaan seramai 24 pasukan lelaki dan 12 wanita dengan mempertandingkan katergori regu sahaja.

Sementara itu, Presiden PSM, Datuk Ahmad Ismail memberitahu, kejohanan itu akan mengguna pakai format pertandingan baru dengan menekankan sistem kiraan 15 mata, tiga terbaik daripada lima set manakala tekong setiap pasukan akan melakukan servis tiga kali terturut-turut.

"Sistem kali ini lebih terbuka berbanding sebelum ini yang menggunakan sistem kiraan 21 mata dengan mengambil kira dua set terbaik saja," jelasnya.

Daripada keseluruhan 36 pasukan yang bertanding pada kejohanan itu, hanya 12 pasukan lelaki manakala lapan pasukan wanita layak menyertai lima sirkit kejohanan Siri Super yang akan membuka tirainya di Thailand pada September ini.

Menyentuh mengenai perubahan sistem mata, Ahmad Ismail berkata ia dilakukan bertujuan untuk memperluaskan sukan itu ke benua Eropah dan Afrika disamping menjadikan sepak takraw lebih menarik serta adil untuk semua pasukan yang bertanding.

"Format baru itu akan diguna pakai pada kejohanan peringkat kebangsaan, Piala Emas Khir Johari di Sarawak pada Mac ini.

Sehingga kini, tiada bantahan diterima daripada mana-mana pihak berhubung penggunaan format baru itu," ujarnya.

Pada masa sama, Abdul Halim yang juga Presiden Persekutuan Sepak Takraw Asia (Astaf) memberitahu, sebuah akademi sepak takraw bertaraf antarabangsa dengan kerjasama PSM akan diwujudkan dalam tempoh enam bulan akan datang bagi melahirkan lebih ramai pakar dalam sukan ini termasuk pelibas terbaik negara. Turut hadir pada majlis itu adalah Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Malaysia, Datuk Ismail Ahmad, mewakili Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara, Datuk Zolkples Embong.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan