Najib Seru Rakyat Jadi Penyokong Setia Pasukan Sukan Negara

Diterbitkan: Jumaat, 31 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak menyeru rakyat Malaysia supaya sentiasa memberi sokongan padu kepada pasukan sukan kebangsaan, bukan saja apabila mereka mengukir kejayaan, tetapi lebih penting ketika mereka menghadapi detik-detik mencabar.

Beliau berkata sekiranya sikap ini diamalkan sepanjang masa, ia boleh memberi kekuatan dalam usaha memajukan sukan negara, termasuk meletakkan sukan bola sepak negara ke tahap lebih tinggi.

"Semangat 1Malaysia, Rakyat Didahulukan, Pencapaian Diutamakan, dipamerkan dengan penuh bersemangat bukan saja oleh para pemain yang turun ke gelanggang, tetapi juga oleh berjuta-juta penyokong yang memberi semangat kepada pemain negara untuk menjulang kejayaan," kata Najib dalam nukilan terbaru melalui laman blog 1Malaysia beliau.

"Perkara ini dipamerkan dengan jelas malam tadi oleh pemain muda pasukan bola sepak Malaysia yang menjuarai Piala Suzuki.

"Pemain kita membuktikan bahawa disiplin, bekerja secara berpasukan dan ketabahan merupakan adunan penting untuk mencapai kejayaan. Tahniah kepada barisan jurulatih dan pasukan Harimau Malaysia atas kejayaan besar ini," tambahnya.

Perdana Menteri juga mengimbas kembali saat-saat beliau duduk bersama rakyat Malaysia di Jalan Bukit Bintang 12 hari lepas untuk menonton perlawanan bola sepak, yang merupakan kegemaran masa lapang kebanyakan rakyat Malaysia.

"Saya dapat saksikan perubahan besar dalam bola sepak Malaysia," kata beliau.

Najib berkata Malaysia mencatat beberapa kejayaan penting dalam bidang sukan tahun ini, termasuk pencapaian cemerlangnya pada Sukan Komanwel 2010 di Delhi, India dan Sukan Asia di Guangzhou, China.

Kata beliau kejayaan Malaysia dalam arena bola sepak yang amat bermakna itu menjadikan 2010 sebagai tahun yang benar-benar bermakna dalam bidang sukan negara dan semoga semua pencapaian itu memberi inspirasi kepada para belia Malaysia untuk mencapai kejayaan lebih gemilang.

Najib juga berharap setiap orang bergembira dengan pengumuman Jumaat sebagai cuti umum untuk merayakan kejayaan itu dan beliau menyeru mereka supaya menanam tekad untuk menjadikan 2011 dan tahun-tahun berikutnya sebagai tahun yang lebih berjaya. -BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan