Kecemerlangan 2011 Bukan Melalui Tuaian Emas Tetapi Sumbangan Pendapatan

Diterbitkan: Ahad, 26 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Meskipun berpuas hati dengan prestasi atlet Malaysia di sepanjang 2010, Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek mahu menjadikan tahun 2011 lebih cemerlang.

Cuma kali ini bukan melalui kutipan pingat emas tetapi melalui data-data sahih yang menunjukkan sumbangan industri sukan kepada pendapatan negara atau Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).

Satu-satunya temasya yang akan disertai kontinjen Malaysia pada 2011 adalah Sukan SEA edisi ke-26 yang akan diadakan di Indonesia pada November.

Kecemerlangan kontinjen negara melepasi sasaran 10 emas dalam Sukan Komanwel di New Delhi pada Oktober dengan meraih 12 emas dan kejayaan menepati sasaran sembilan emas pada Sukan Asia di Guangzhou bulan lepas, bukanlah 'satu faktor puas hati' bagi beliau.

Katanya ketika ketiadaan temasya yang besar seperti Sukan Komanwel, Sukan Asia dan Olimpik pada tahun hadapan, bukanlah masa untuk berehat dan ungkapan 'keadaan seperti biasa' tidak lagi boleh digunakan kerana sukan bukan lagi sekadar penyertaan tetapi medan pertaruhan maruah dan imej negara.

Tumpuannya kini adalah mencari jawapan punca kemerosotan beberapa jenis sukan yang dahulunya menjadi lubuk emas negara tetapi gagal memberikan emas dari New Delhi dan Guangzhou.

Dua jenis sukan yang menjadi perhatiannya adalah memanah dan boling.

Memanah, satu sukan yang dipertandingkan di Olimpik, gagal memberikan sebutir emas pun dalam Sukan Asia.

Boling, sukan yang tidak dipertandingkan di temasya sukan terbesar dunia itu, tetapi penyumbang emas utama negara pada temasya lain, hanya memberikan dua emas dari Guangzhou.

Berbeza tiga emas dari edisi Doha, pada 2006 yang disumbangkan oleh atlet wanita, dua emas dari Guangzhou datangnya dari atlet lelaki.

Ahmad Shabery berkata walaupun tumpuan utama kementerian kini adalah program 'Road to London 2012' yang bertujuan mencari emas pertama Malaysia dari Sukan Olimpik, namun kepentingan sukan lain tidak diabaikan.

Tugas utama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sebelum kempen itu bermula adalah mencari jalan untuk mengoptimumkan industri sukan di negara ini berbanding bajet yang terhad.

Sebagai contoh, katanya jika industri sukan dapat menguasai 10 peratus daripada perbelanjaan pengiklanan dalam negara setahun, ini bermakna arena sukan di negara ini menyumbang kira-kira RM600 juta kepada KDNK.

Menurut perangkaan Kementerian Belia dan Sukan, nilai import 'Freight On Board' (FOB) untuk peralatan berkaitan sukan bertambah daripada RM1.4 bilion pada 2008 kepada RM3.07 bilion tahun lepas.

Nilai import negara dalam industri sukan dari Januari hingga Julai 2010 adalah sebanyak RM5.1 bilion sementara eksport negara bagi industri sukan dalam tempoh sama adalah RM729 juta.

Di Amerika Syarikat, kata Ahmad Shabery industri sukan menyumbang pendapatan kasar sebanyak US$410 bilion kepada negara itu pada 2009.

Kesungguhan KBS dapat dinilai melalui penganjuran Konvensyen Industri Sukan Malaysia tahun lepas dan penubuhan makmal Bidang Ekonomi Utama Kementerian (MKEA) Industri Sukan pada Oktober, yang bertujuan mencari formula untuk mendapatkan data terkini sumbangan industri sukan kepada KDNK.

"Kerana itu KBS serius untuk mendapatkan data yang lengkap dan sahih mengenai sumbangan industri ini kepada pendapatan negara, selaras dengan dasar kementerian untuk menjadikan bidang sukan sebagai salah satu penjana kepada KDNK," kata Ahmad Shabery.

Antara sukan yang mempunyai nilai komersial dan menjadi tumpuan penajaan pihak swasta termasuk bola sepak, golf, sukan permotoran dan badminton.

Sukan golf misalnya dijangka menyumbang secara tidak langsung kira-kira RM300 juta kepada pendapatan negara menerusi pengesahan kehadiran PGA Tour untuk enam tahun akan datang.

Perdana Menteri Datuk Seri Najib Razak menyatakan publisiti yang diperoleh negara daripada kejohanan CIMB Asia Pacific Classic Malaysia di Mines Resort and Golf Club Oktober lalu dianggarkan memberikan pulangan kira-kira RM240 juta nilai tambahan, memandangkan setiap kejohanan PGA Tour disiarkan kepada lebih 500 juta isi rumah di seluruh dunia.

Satu lagi acara sukan yang mampu meningkatkan industri sukan tanah air adalah kejohanan kapal layar antarabangsa Piala Monsun yang diadakan setiap tahun di Pulau Duyong, Terengganu.

Menurut penasihat kejohanan Datuk Peter Gilmour, temasya itu meraih pulangan pelaburan bagi acara, media dan nilai jenama berjumlah RM539 milion dan nilai itu dijangka meningkat 30 peratus setiap tahun.

Data berkenaan jelas menunjukkan bahawa industri sukan di negara ini menyediakan peluang yang luas kepada usahawan tempatan untuk mengembangkan model perniagaan mereka dan seterusnya mengaut keuntungan.

Malahan keputusan kerajaan mewajibkan setiap pelajar sekolah untuk bergiat dalam sekurang-kurangnya satu jenis sukan menerusi program 1Murid 1Sukan tahun depan, akan membantu meningkatkan jualan barangan sukan.

Pengisytiharan tahun 2011 sebagai Tahun Industri Sukan juga diharapkan akan dapat memajukan lagi industri itu selain mengangkat martabat sukan di negara ini. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Jumaat, 15 September 2017 2:00 PM

Cassidy Malu Cakap Melayu?

Jumaat, 15 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Payslip - Semangat Yang Hilang

Khamis, 14 September 2017 4:00 PM

Farida Jalal Mahu Lebih Kolaborasi Malaysia-Bollywood

Khamis, 14 September 2017 9:00 AM

Faye Kusairi Menangis Tonton Diri Sendiri

Kolumnis

iklan

Iklan