Melaka Sasar Sepuluh Peratus Bilangan Pelancongan Sukan 2011

Diterbitkan: Ahad, 19 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

MELAKA: Melaka menyasarkan peningkatan sebanyak 10 peratus atau satu juta pelancong yang datang ke negeri ini tahun depan menerusi pelancongan sukan, kata Ketua Menteri Datuk Seri Mohd Ali Rustam.

Katanya bagi mencapai sasaran itu kerajaan negeri perlu menganjurkan sekurang-kurangnya 34 acara sukan bertaraf antarabangsa dan kebangsaan di Melaka tahun depan.

"Jika boleh, kita anjurkan purata tiga acara sukan (berprestij) setiap bulan (bagi menarik kedatangan pelancong)," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Kejohanan Taekwondo Kebangsaan 2010 anjuran Persekutuan Taekwondo Antarabangsa (ITF) di Pusat Boling Antarabangsa Melaka di Ayer Keroh di sini, Sabtu.

Seramai 114 peserta dari seluruh negara dan Indonesia mengambil bahagian dalam kejohanan yang berlangsung dua hari, bermula hari ini.

Melaka menerima kedatangan 7.8 juta pelancong antara Januari dan November tahun ini dan dijangka dapat mencapai angka 10 juta menjelang akhir tahun berbanding keseluruhan 8.9 juta pelancong tahun lepas.

Mohd Ali berkata selain menambah bilangan pelancong ke Melaka, aktiviti sukan dapat meningkatkan mutu sukan keseluruhan di negeri ini.

"Dengan menambah aktiviti sukan kita dapat meningkatkan prestasi atlet kita, acara sukan seperti ini juga boleh menjadi tempat untuk kita mencungkil bakat-bakat baru dalam sukan," katanya.

Mohd Ali turut mengumumkan penubuhan sebuah institut sukan di Melaka pada Januari tahun depan bagi meningkatkan mutu sukan dan penjualan barangan sukan di negeri ini.

Beliau berkata institut itu diberi tanggungjawab bersama Perbadanan Stadium Melaka untuk menguruskan dua buah pasar raya sukan yang akan dibuka kerajaan negeri di Stadium Hang Jebat dan di Digital Mall, Jalan Hang Tuah.-BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan