Skuad Renang Negara Gegarkan Kolam Renang

Diterbitkan: Selasa, 14 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GUANGZHOU: Skuad renang paralimpik Malaysia beraksi cemerlang di Pusat Akuatik Aoti, Guangzhou apabila menyumbang dua pingat emas dan dua gangsa untuk negara pada Sukan Para Asia, Isnin.

Yusup Dewa menjadi penyumbang pertama pingat emas negara menerusi acara 100m gaya bebas lelaki, kategori S6 dengan catatan masa 1.19.62s.

Pingat perak dalam acara itu pula menjadi milik perenang Korea Utara, Byeongeon Min dengan catatan 1.23.61s, manakala pingat gangsa milik Hosseinabadi Ali Nikko dari Iran (1.23.92s). "Kejayaan hari ini menjadi pembakar semangat kepada saya untuk memperbaiki persembahan dari semasa ke semasa," kata Yusup kepada Bernama.

Meskipun gembira dapat menyumbang pingat emas pertama untuk negara, namun beliau kecewa kerana gagal membaharui rekod peribadi 1.15s yang diciptanya pada Kejohanan Renang Dunia di Belanda pada tahun lepas.

Mantan Perdana Menteri Malaysia Tun Abdullah Ahmad Badawi dan isterinya Tun Jeanne Abdullah yang hadir menyaksikan acara renang hari ini diberi penghormatan untuk menyampaikan pingat kepada pemenang. Satu lagi pingat emas negara disumbang Zul Amirul Sidi Abdullah menerusi acara 50m kuak lentang lelaki kategori S5 dengan catatan 42.58s.

Pingat perak bagi acara tersebut milik Byeongeon Min dengan catatan 43.67s, manakala perenang negara Jamery Siga meraih gangsa dengan catatan 45.18s.

Zul Amirul berkata beliau tidak terkejut dengan kejayaannya itu kerana acara 50m kuak lentang adalah acara kegemarannya.

"Cuma ketika hendak memulakan aksi tadi, saya agak risau apabila hampir terjatuh dari petak permulaan.

"Namun saya bersyukur kerana juri tidak membatalkan penyertaan," katanya. Zul Amirul berkata beliau tidak meletakkan sasaran untuk acara lain.

Satu lagi pingat gangsa negara diraih melalui Fraidden Dawan menerusi acara 100m gaya kupu-kupu kategori S10 dengan catatan masa 1.08.42s.

Dalam acara itu, pingat emas dan perak dikuasai perenang tuan rumah China melalui Furong Lin dan Toi Bai yang masing-masing mencatat masa 1.02.22s dan 1.02.26s. -BERNAMA

iklan

Video

Jumaat, 22 September 2017 2:00 PM

Ella Gamit Kenangan Bersama The Boys

Jumaat, 22 September 2017 9:00 AM

#akuStar: Andi Bernadee - Tiada Lagi Maaf

Khamis, 21 September 2017 2:00 PM

Monoloque Tak Habis-Habis Nak Sindir Orang!

Khamis, 21 September 2017 9:00 AM

Popular? Tolak Tepilah! - Bob (AF2)

Rabu, 20 September 2017 4:00 PM

Irfan Haris Nafi Tumpang Populariti Kakak

Selasa, 19 September 2017 2:00 PM

Keluh-Kesah Jalil Hamid

Selasa, 19 September 2017 9:00 AM

Kau Buat #OOTD Pun Riaklah! - Wak Doyok

Isnin, 18 September 2017 2:30 PM

Belum Masa Gantung Skrip – Naim Daniel

Kolumnis

iklan

Iklan