Tiga Pasukan Kebangsaan Dijemput Sertai LTdL 2011

Diterbitkan: Rabu, 1 Disember 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pasukan lebuh raya Malaysia terus mendapat peluang untuk meraih pengiktirafan selepas gagal di Sukan Asia 2010 dan Sukan Komanwel 2010 apabila dijemput menyertai Le Tour de Langkawi 2011 (LTdL 2011) atas tiket pasukan kebangsaan bersama Afrika Selatan dan Korea Selatan.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) LTdL 2011, Mohamed Salleh menjelaskan untuk kejohanan tahun depan, pihaknya akan menjemput tiga pasukan kebangsaan iaitu Malaysia, Korea Selatan dan Afrika Selatan bagi memeriahkan cabaran untuk perlumbaan edisi ke-16 bermula di Pulau Langkawi tahun depan.

“Pada peringkat perbincangan awal, ada beberapa pasukan kebangsaan seperti Iran, China, Indonesia dan Kazakhstan berada dalam senarai jemputan. Bagaimanapun, selepas terima nasihat pelbagai pihak termasuk Pengarah Teknikal LTdL 2011, Jamaluddin Mahmood, kami akan jemput pasukan kebangsaan Malaysia, Korea Selatan dan Afrika Selatan untuk berlumba pada Le Tour de Langkawi 2011.

“Kita tak jemput pasukan kebangsaan Iran kerana kita bakal melihat bayangan juara klasifikasi pasukan keseluruhan Le Tour de Langkawi 2010 iaitu pasukan Tabriz Petrochemical Cycling Team (TPT).

“Pasukan ini adalah sebuah pasukan yang sangat kuat kerana mempunyai beberapa pelumba yang handal seperti Ghader Mizbani, Mehdi Sohrabi, Hossein Askari dan Andrey Mizourov.

“Manakala China dan Indonesia tidak mempunyai barisan pelumba yang kuat. Jadi kami berpendapat jemputan kepada pasukan kebangsaan Malaysia, Korea Selatan dan Afrika sudah memadai.

“Apatah lagi pengurusan LTdL mungkin menjemput Terengganu Cycling Asia Team (TCT) dan Le Tua Cycling Team. Pasukan ini bakal bertarung dalam kategori Asia nanti dengan syarat wajib mempunyai sekurang-kurangnya tiga pelumba tempatan,” katanya dalam satu kenyataan.

Mohamed bangga kerana Malaysia dan Afrika Selatan merupakan pasukan kebangsaan yang tidak pernah keciciran bertarung dalam kancah pertandingan LTdL yang kini sudah berstatus HC2 dalam calendar Kesatuan Berbasikal Antarabangsa (UCI).

Katanya, pengurusan LTdL 2011 menaruh harapan yang sangat tinggi kepada pasukan kebangsaan Malaysia biarpun terus gagal dan gagal pada enam kejohanan utama perlumbaan sehari iaitu Kejohanan Lumba Basikal Asia 2008 (ACC 2008), ACC 2009, ACC 2010; Sukan Sea 2009, Sukan Komanwel 2010 dan Sukan Asia 2010.

“Mengikut tradisinya pasukan kebangsaan Malaysia belum pernah berada pada kelompok lima pasukan teratas dalam klasifikasi pasukan keseluruhan Le Tour de Langkawi. Saya berharap senario itu akan berubah tahun depan.

“Saya tidak mahu letakkan sebarang tekanan kepada pasukan kebangsaan Malaysia. Tetapi selepas terima bantuan berlatih di Melbourne atas ehsan Kementerian Belia dan Sukan (KBS), mereka perlu berani hadapi hakikat bahawa ramai pihak berharap pasukan kebangsaan Malaysia akan sentiasa berjaya dalam setiap pertandingan yang disertai,” katanya.

Sebelum ini, Mohamed mendesak Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia (MNCF) agar segera membentuk dan mencari sekurang-kurangnya tiga pendaki bukit yang kuat bagi menghadapi kejohanan edisi ke-16 itu.

LTdL 2011 adalah kejohanan elit anjuran Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dengan kerjasama MNCF.

Ia akan diadakan bermula 23 Januari sehingga 1 Februari meliputi 10 peringkat dengan jarak keseluruhan 1,315.4 kilometer bermula di Pulau Langkawi dan berakhir di Dataran Merdeka.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan