Kejohanan Kuda Lasak Dan Kapal Layar Produk Pelancongan Baru Terengganu

Diterbitkan: Khamis, 28 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Selain pulau, tasik dan produk batik, songket serta kraf yang menjadi tarikan kepada pelancong, kejohanan kuda lasak dan kejohanan kapal layar juga mampu menarik orang ramai untuk mengunjungi Terengganu.

Pemangku Ketua Pengarah Tourism Malaysia Azizan Noordin berkata kejohanan kuda lasak Terengganu Endurance Sultan Cup dan kejohanan kapal layar Piala Monsun yang diadakan setiap tahun merupakan produk pelancongan baru yang boleh diketengahkan.

"Kejohanan kuda lasak bukan sahaja untuk pelancongan domestik, tetapi dapat menarik pelancong dari luar negara. Begitu juga dengan kejohanan kapal layar yang diadakan setiap tahun di Pulau Duyong.

"Ketika ini negara mempunyai 16 marina seumpama Pulau Duyong seperti di Pulau Tioman, Danga Bay, Tanjung Puteri dan lain-lain yang mampu menarik peminat sukan air," katanya kepada pemberita pada program Misi Jualan Domestik dan Cuti-cuti Malaysia Travel Fair di Terengganu selama empat hari mulai Khamis.

Program itu disertai 80 penjual dan pembeli produk pelancongan dari beberapa negeri termasuk Terengganu, Kelantan dan Pahang.

Azizan berkata ramai penuntut negara ini yang menceburi sukan air seperti kejohanan kapal layar semasa sedang belajar di luar negara, meneruskan minat mereka itu apabila habis belajar dan pulang ke tanah air.

Program itu akan memberi ruang kepada peserta untuk mengukuhkan kerjasama, mewujudkan jalinan pemasaran sesama mereka serta mengenali dengan lebih dekat pelbagai destinasi dan produk pelancongan di negeri terbabit.

Sementara itu, Azizan berkata tahun ini negara menyasarkan untuk menarik lebih 24 juta pelancong yang mampu menghasilkan pulangan RM54.5 bilion.

Katanya tahun lepas seramai 23.6 juta pelancong mengunjungi negara ini dengan menghasilkan pendapatan kira-kira RM54 bilion manakala negara menyasarkan pungutan hasil kira-kira RM136 bilion pada tahun 2020 dengan sasaran kedatangan pelancong sehingga 36 juta. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan