80 Sah Sertai Kejohanan Kuda Lasak Terengganu

Diterbitkan: Rabu, 27 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA TERENGGANU: Lapan puluh peserta dari dalam dan luar negara telah mengesahkan penyertaan pada kejohanan kuda lasak Terengganu International Endurance Sultan Cup yang akan diadakan di Lembah Bidong, Setiu dari 5 hingga 7 November ini.

Ketua Urusetia Sultan Cup 2010 Faridah Mat Ali berkata sehingga kini seramai 15 peserta luar negara telah mengesahkan penyertaan iaitu dari Thailand, Amerika Syarikat, Perancis, Singapura, Australia, Uruguay dan Indonesia.

"Kalau dikirakan tarikh penyertaan kejohanan itu telah ditutup, tetapi kebiasaannya akan ada peserta mendaftar pada saat-saat akhir," katanya kepada Bernama di sini, Selasa.

Faridah berkata kejohanan itu akan turut disertai Yang di-Pertuan Agong Tuanku Mizan Zainal Abidin.

Beliau berkata kejohanan yang menawarkan hadiah keseluruhan bernilai RM126,000 itu adalah anjuran bersama kerajaan negeri Terengganu dan Royal Terengganu Endurance Stable (RTES).

Hanya satu kategori dipertandingkan pada kejohanan kali keenam ini iaitu acara 120km, katanya.

Faridah berkata hadiah utama kejohanan itu ialah RM30,000 untuk tempat pertama, kedua (RM20,000), ketiga (RM15,00), keempat (RM10,000) dan kelima (RM8,000).

Beliau berkata kira-kira 20 ekor kuda dari luar dan dalam negara yang akan digunakan pada kejohanan mula tiba di sini sejak beberapa hari lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan