Pelumba Terengganu Ungguli Terbuka Perlis

Diterbitkan: Ahad, 24 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KANGAR: Dua pelumba Terengganu, Mohd Saufi Mat Senan dan Zahraa Anuawar mengungguli acara kritarium pada Kejohanan Lumba Basikal Terbuka Perlis 2010 di sini pada Ahad.

Mohd Saufi, 20, menjuarai acara lelaki sejauh 59.4 km dengan catatan masa satu jam, 18 minit dan lapan saat (1:18.08) untuk memungut 23 mata manakala pelumba Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Mohd Shahrul Nizam Che Shamsuddin menduduki tempat kedua dengan mengumpul 13 mata.

Juara acara lepas beramai-ramai lelaki sejauh 116.1 km kejohanan Jumaat lalu, Adrian Chuah Wye Kit yang mewakili Le Tua Cycling Team (L2A) hanya menduduki tempat ketiga dengan memungut enam mata manakala tempat keempat disandang oleh seorang lagi pelumba Terengganu, Muhammad Aim Mohd Fauzi yang juga memungut enam mata.

Bagi acara kritarium wanita sejauh 49.5 km, Zahraa, 18, menjuarai acara itu dengan mengumpul 25 mata dan menamatkan kayuhannya dengan masa 1:20.35 mendahului rakan sepasukan, Nur Ain Mahmod yang mengumpul 20 mata.

Pelumba ATM, Nurul Norlizawati Mohd Sharif menduduki tempat ketiga dengan mengumpul lapan mata diikuti Aisyah Puteh dari Kedah dengan hanya pungutan empat mata.

Juara acara kriterium lelaki menerima wang tunai RM500, kedua RM400, ketiga RM300 dan keempat RM100 manakala juara kriterium wanita menerima RM250, kedua RM200, ketiga RM150 dan keempat RM50 selain medal.

Hadiah-hadiah disampaikan oleh Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Azizan Hamid.

Kejohanan terbuka Perlis anjuran kerajaan negeri dengan kerjasama Persatuan Berbasikal Negeri Perlis berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat lepas. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan