Kelly Tan Idam Raih Pingat Di Guangzhou

Diterbitkan: Ahad, 24 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pengalaman berharga yang ditimba ketika beraksi bersama pemain golf wanita profesional dunia memberi semangat baru kepada pemain amatur negara, Kelly Tan untuk meraih sebarang pingat di Sukan Asia, di Guangzhou, China bulan depan.

Beliau baru sahaja menyertai kejohanan berprestij LPGA Malaysia Sime Darby yang menutup tirai, Ahad.

Katanya, pendedahan yang diraihnya pada kejohanan itu amat berguna dan bakal menjadi bekalan penting untuk dibawa ke Sukan Asia.

"Mungkin kelebihan beraksi di gelanggang sendiri, saya dapat menyesuaikan diri dengan keadaan cuaca dan ia membolehkan saya beraksi dengan lebih baik walaupun sekadar mengumpul keseluruhan tiga di atas par 216," katanya.

Menurut beliau, selepas kejohanan LPGA Malaysia Sime Darby, tahap persediaan beliau bagi menghadapi Sukan Asia sudah boleh dikatakan antara 80 hingga 90 peratus bersedia.

"Saya amat teruja dapat bermain bersama pemain terbaik dunia dalam sukan golf, mereka banyak memberi motivasi kepada saya," katanya.

Ketika ditanya sama ada beliau bercadang untuk menjadi pemain profesional, Kelly berkata: "Buat masa ini, saya tidak memikirkan lagi soal untuk menjadi pemain profesional dalam masa terdekat ini. "Saya bercadang akan memasuki kolej di Amerika Syarikat untuk meningkatkan tahap permainan saya," katanya.

Pada kejohanan tiga hari yang bermula Jumaat lepas, Kelly, 16, terikat di kedudukan ke-32 selepas mengumpul tiga di atas par 216. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan