Kang Tawan LPGA Malaysia - Sukan Ekstra | mStar

Kang Tawan LPGA Malaysia

Diterbitkan: Ahad, 24 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

Sultan Perak Sultan Azlan Shah menyampaikan piala kepada Kang yang memenangi saingan LPGA di Kuala Lumpur Golf & Country Club, Ahad. Foto THE STAR/GLENN GUAN
Sultan Perak Sultan Azlan Shah menyampaikan piala kepada Kang yang memenangi saingan LPGA di Kuala Lumpur Golf & Country Club, Ahad. Foto THE STAR/GLENN GUAN

KUALA LUMPUR: Pemain profesional Korea Selatan, Kang Jimin menamatkan penantian selama lima tahun untuk merangkul kejuaraan pada Kejohanan Golf Sime Darby LPGA Malaysia di Kuala Lumpur Golf & Country Club (KLGCC), Bukit Kiara, dekat sini, Ahad.

Pada pusingan akhir, pemain berusia 30 tahun itu berjaya melakukan pukulan birdie di lubang ke-18 untuk mencipta enam bawah par 65 bagi mengumpul sejumlah sembilan bawah par 204 selepas saingan tiga pusingan.

Kang berjaya mengatasi pencabar terdekat, Juli Inskter dari Amerika Syarikat dengan kelebihan satu pukulan untuk merangkul kejuaraan kedua dalam Jelajah LPGA selepas Kejohanan LPGA Corning Klasik pada 2005.

Atas kejayaan tersebut, Kang menerima hadiah wang tunai US$270,000 (RM841,185) pada kejohanan sulung LPGA Malaysia yang menawarkan hadiah US$1.8 juta (RM5.6 juta). Hadiah disampaikan oleh pengerusi Sime Darby, Tun Musa Hitam.

"Saya tidak dapat berkata apa-apa. Ini bukan kejayaan mudah. Bagaimanapun, saya bermain dengan mantap dan banyak membuat 'putt' hari ini," kata Kang pada sidang media selepas kemenangan itu.

"Pada satu ketika, saya melihat papan skor dan saya terikat kedudukan selepas lubang ke-16 manakala Juli (Inkster) sudah mempunyai sembilan bawah par selepas lubang ke-17.

"Saya perlu mendapat birdie pada lubang terakhir bagi mengelak bermain dalam lubang penentuan (play-off)," katanya.

Kang memulakan pusingan akhir dengan melakukan pukulan birdie pada lubang pertama tetapi melakukan bogey pada lubang berikutnya.

Beliau kemudian melakukan dua lagi birdie pada sembilan lubang pertama dan empat lagi birdie pada sembilan lubang terakhir untuk mebncipta enam bawah par 65.

Dalam pada itu, Inkster melakukan pukulan birdie dari lubang ke-15 hingga ke-17 untuk mendahului saingan tetapi gagal meneruskan kecemerlangan apabila melakukan pukulan bogey pada lubang terakhir bagi membolehkan Kang mengatasinya.

"Pukulan putt pada lubang terakhir tersasar. Bagaimanapun, saya bermain dengan baik sepanjang pusingan akhir ini," kata Inkster.

Pendahulu bersama menjelang pusingan akhir, Maria Hjorth dari Sweden melakukan pukulan par 71 pada Ahad untuk berkongsi kedudukan tempat ketiga bersama dengan pemain Jepun Mika Miyazato dengan enam bawah par 207.

Pemain nombor satu dunia, Ai Miyazato dari Jepun, hanya menduduki tempat ke-31 daripada 60 pemain dengan jumlah catatan 215 pukulan.

Pemain amatur Kelly Tan muncul sebagai pemain terbaik negara dengan menduduki temat ke-37 dengan 216 pukulan, diikuti Jean Chua di tempat ke-53 (221), pemain amatur Aretha Pan di tempat ke-57 (244), Diana Tham di tempat ke-59 (247) dan Cindy Lee-Pridgen di tangga tercorot dengan 250 pukulan. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan