Mika, Jee Young Dahului Hari Pertama LPGA

Diterbitkan: Jumaat, 22 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

KUALA LUMPUR: Pemain golf Mika Miyazato dari Jepun dan Lee Jee Young (Korea) berkongsi kedudukan pusingan pertama apabila berjaya mencatat lima di bawah par 66 pada Kejohanan Golf Wanita LPGA Sime Darby, Jumaat.

Mika yang beraksi untuk kali kedua dalam kejohanan LPGA ini berkata, dia berpuas hati dengan aksi hari ini walaupun perlawanan terpaksa diberhentikan lebih kurang tiga jam akibat keadaan cuaca yang tidak mengizinkan.

"Saya agak bertuah kerana berjaya melakukan birdie pada lubang kesembilan selepas permainan disambung semula. Walaupun keadaan cuaca tidak menentu, namun saya boleh mengatasinya," katanya yang turut menjuarai Kejohanan Golf Terbuka Jepun bulan lalu.

Sementara itu Jee Young yang berkongsi mata dengan Mika turut teruja kerana berjaya melakukan pukulan yang baik dan mengawal corak permainannya.

"Saya menamatkan permainan dengan melakukan satu demi satu lubang dan akhirnya berjaya menamatkan permainan dengan baik. Perlawanan sedikit sukar namun saya telah mengawalnya biarpun perlawanan terpaksa ditangguhkan seketika.

"Saya tidak memikirkan perkara lain dan hanya memberi fokus kepada perlawanan," katanya.

Seorang lagi pemain Korea, Han Hee-Won berjaya menduduki tempat ketiga selepas membuat pukulan empat di bawah par 67, manakala Sharp Alena dari Kanada, Hjorth Maria (Sweden), Ahn Shi Hyun (Korea) dan Michelle Wie (Amerika Syarikat) berkongsi kedudukan di tempat keempat apabila masing-masing melakukan tiga di bawah par 68.

Bagaimanapun pemain nombor satu dunia, Ai Miyazato gagal beraksi cemerlang pada pembukaan kejohanan kali ini apabila hanya menamatkan perlawanan pada kedudukan ke-51 setelah melakukan lima di atas par 76.

Miyazato, 25, mengungguli tempat teratas dalam senarai kedudukan pemain golf profesional wanita setelah menjuarai LPGA Safeway Classic pada 22 Ogos dan seterusnya mengetuai cabaran untuk merebut Rolex Player of the Year Award pada tahun ini.

Selain Safeway Classic, Miyazato turut mengukuhkan musim ini dengan menguasai empat kejohanan Jelajah LPGA termasuk Honda PTT LPGA Thailand pada 21 Feb, Juara-juara Wanita HSBC (28 Feb), Kejohanan Tres Marias (2 Mei) dan ShopRite LPGA Classic (20 Jun).

Kejohanan yang dianjurkan oleh Sime Darby LPGA Malaysia ini menampilkan 50 pemain LPGA teratas daripada Senarai Wang Rasmi dan 10 pengecualian penaja.

Lima pemain Malaysia termasuk dalam senarai 10 pengecualian penaja itu termasuk pemain profesional Cindy Lee-Pridgen dan Jean Chua dan pemain amatur, Kelly Tan, Aretha Pan dan Diana Tham.

Kejohanan ini menawarkan hadiah berjumlah US$1.8 juta (RM5.6 juta) manakala format permainan yang akan digunakan pada kejohanan tiga hari ini ialah permainan strok 54 lubang.

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan