Sukan Komanwel Labuh Tirai, Jumpa Di Scotland

Diterbitkan: Jumaat, 15 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Selepas 12 hari aksi-aksi sukan memukau penonton, tirai Sukan Komanwel ke-19 akhirnya dilabuhkan dalam satu upacara penutup paling gemilang di sini malam, Khamis.

Stadium Jawaharlal Nehru di sini bertukar wajah dengan bermandikan percikan bunga api, tarian dan dendangan penyanyi Bollywood menghiburkan ribuan penonton dalam stadium dan jutaan peminat sukan yang mengikuti upacara itu menerusi kaca televisyen.

Lagu-lagu tradisional India, persembahan seni mempertahankan diri, tarian moden dan tarian tradisi dari pelbagai kumpulan serta alunan irama merdu yang terhasil melalui peralatan muzik tradisi telah mewarnai majlis tersebut.

Kontroversi yang hampir menjejaskan permulaan temasya sukan itu dilupai sebaik sahaja acara sukan bermula dan semua acara berjalan lancar tanpa sebarang insiden walaupun sukan itu dilanda risiko keselamatan yang tinggi.

Atlet dan pegawai dari 71 negara Komanwel menunjukkan semangat kesukanan yang tinggi sepanjang temasya itu yang mempertandingkan 272 pingat emas dalam 17 jenis sukan.

"Sukan ini adalah terbesar, paling ramai ditonton dan cukup bermakna sekali. Sukan India kini bergerak ke hadapan. Ini adalah era baru dalam sukan untuk India," kata pengerusi jawatankuasa penganjuran, Suresh Kalmadi, semasa berucap pada majlis penuh meriah itu.

Ramai pemerhati tempatan dan asing di sini menganggap temasya sukan kedua terbesar selepas Sukan Olimpik itu adalah berjaya walaupun terdapat keraguan dengan tahap persiapan dan rungutan atlet di perkampungan sukan.

"Delhi telah memberikan sebuah sukan yang terkecuali dan meninggalkan legasi yang kaya, bukan saja venue bertaraf dunia tetapi juga tenaga kerja bagi menganjurkan sukan bertaraf dunia," kata Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) Mike Fennell.

Pada majlis itu, Perdana Menteri India Manmohan Singh, Presiden Sri Lanka, Mahinda Rajapaksa dan Putera Edward, Earl of Wessex, iaitu naib penaung CGF, turut hadir pada majlis itu.

Putera Edward dengan rasminya menutup temasya edisi ke-19 itu dan bendera CGF bertukar tangan antara pegawai-pegawai Delhi dan Glasgow di mana Scotland menjadi tuan rumah pada edisi ke-20 pada 2014. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan