Malaysia Boleh Lepasi Sasaran 10 Emas

Diterbitkan: Ahad, 10 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Chef de Mission Malaysia, Tan Sri Abdul Halil Abd Mutalif berpendapat kontinjen negara boleh melepasi sasaran 10 pingat emas pada Sukan Komanwel 2010 di sini.

Abdul Halil berkata sasaran pingat emas yang disandarkan kepada beberapa jenis sukan gagal diperolehi tetapi jenis sukan lain berjaya menyelamatkan keadaan untuk menepati sasaran.

"Di mana kita mengharapkan emas tidak menjadi tetapi sukan lain menyelamatkan situasi. Separuh daripada misi kita telah selesai dan saya fikir kita boleh dapat lebih 10 emas," katanya kepada Bernama di sini, Ahad.

Kontinjen negara, yang meletakkan sasaran 10 emas, sama seperti yang dimenangi pada Sukan Komanwel 1998 di Kuala Lumpur, setakat ini mengumpul enam emas, enam perak dan tujuh gangsa.

Pada keseluruhan, atlet negara menunjukkan prestasi baik di sini, dengan gagal mendapat emas kerana dipisahkan dengan beberapa mata sahaja atau tewas dengan tipis, katanya.

Bilangan emas yang diharapkan dalam acara memanah dan boling padang masih belum menjadi selepas tujuh hari bersaing tetapi angkat berat, berbasikal dan menembak dapat mengatasi ketandusan emas.

"Kita perlu melihat kepada atlet kita, lebih banyak usaha perlu dilaksanakan. Kita perlu mencungkil lebih ramai bakat muda pada masa depan. Sukan Malaysia (SUKMA) merupkan medan sesuai untuk mula mencungkil atlet berbakat," kata Abdul Halil.

Angkat berat masih kekal sebagai penyumbang terbesar dengan dua pingat emas manakala badminton, menembak, berbasikal dan skuasy menyumbang satu emas masing-masing kepada jumlah koleksi emas negara.

Juara bertahan Australia terus melebarkan diri daripada negara-negara lain dengan mengumpul 56 butir emas diikuti oleh tuan rumah India, England, Kanada, Afrika Selatan dan Nigeria.

Temasya yang tinggal empat hari sebelum melabuh tirainya menyaksikan 32 negara telah memenangi pingat tetapi Malaysia masih mempunyai peluang cerah dalam acara badminton, boling padang dan memanah. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan