Komanwel: Penembak Malaysia Raih Perak, Gangsa Acara 10M Raifal Akhir Wanita

Diterbitkan: Ahad, 10 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Penembak Malaysia Nur Ayuni Halim terlepas pingat emas keduanya apabila ketinggalan dua mata dalam acara akhir 10m raifal angin wanita perseorangan di Sukan Komanwel ke-19 di sini Ahad.

Beliau meraih pingat perak selepas mengumpul 396 mata, dalam persaingan sengit di belakang penembak Singapura Jasmine Wei Xiang yang memperoleh emas dengan 398 mata.

"Saya gembira. Saya juga gembira untuk pasukan. Semalam, kami menang pingat emas bagi pasukan dan hari ini saya menang perak. Benar-benar menyeronokkan.

"Semalam, saya lakukan yang terbaik. Hari ini, saya beritahu diri saya, saya akan lakukan lebih baik. Perak pun baik juga," kata Nur Ayuni selepas kemenangan itu.

Mata yang dikumpul oleh penembak Singapura itu juga menyamai rekod yang dibuat oleh penembak India Anjali Bhagwat pada Sukan Komanwel di Manchester pada 2002.

Sementara itu, Nur Suryani Muhamad Talib, yang kini berada pada kedudukan ke-13 di dunia dan dikatakan akan memenangi pingat emas dalam acara ini hanya memperoleh pingat gangsa selepas mengumpul 395 mata.

Semalam, kedua-dua penembak itu memperoleh pingat emas dalam acara 10m raifal berpasangan dan membawa jumlah pungutan emas kepada enam. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan