Komanwel: Malaysia Menang Pingat Sulung Dalam Acara Ping Pong

Diterbitkan: Jumaat, 8 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Malaysia membawa pulang pingat sulung dalam acara ping pong Sukan Komanwel setelah mengalahkan England 3-2 dalam saingan merebut pingat gangsa kategori wanita di Kompleks Sukan Yamuna di sini Jumaat.

Beh Lee Wei meletakkan Malaysia sebagai pendahulu dengan mengetepikan Kelly Sibley 8-11, 11-2, 11-13, 13-11, 11-9 dalam perlawanan pertama.

Kemenangan kedua Malaysia diperoleh menerusi Ng Sock Khim yang menundukkan Joanna Parker 7-11, 11-6, 11-7, 10-12, 11-9.

Bagaimanapun, England bangkit memberi tentangan hebat menerusi Hanna Hicks yang menang 12-10, 13-11, 12-10 ke atas Fan Xiao Jun.

Parker, yang pulih semula daripada kekalahannya sebelum itu, mengikat kedudukan kepada seri dengan mengalahkan Beh 11-7, 11-4, 12-10 untuk perlawanan penentuan antara Sibley dan Ng.

Ng memastikan kemenangan berpihak kepada Malaysia menerusi catatan 11-7, 9-11, 11-9, 7-11, 11-8.

Ketua pasukan ping pong Malaysia Soong Poh Wah ketika dihubungi berkata semua pemain berusaha keras dalam setiap perlawanan yang berlangsung dengan sengit.

"Kami pernah mengambil bahagian di Manchester dan Melbourne tetapi tidak memperoleh sebarang pingat. Oleh itu kami sangat gembira kali ini kerana berjaya mencapai sasaran untuk menyumbangkan pingat kepada negara," katanya.

Mengenai pingat sulung daripada acara ping pong Sukan Komanwel, Ng berkata: "Kami sungguh gembira kerana memenangi pingat gangsa ini. Terima kasih kepada jurulatih, ibu bapa dan Tuhan".

Beliau berkata pasukannya terlalu berkeyakinan selepas memenangi dua perlawanan pertama dan kemudian menjadi tertekan setelah kalah perlawanan ketiga dan keempat.

"Satu-satunya perkara dalam fikiran kami ialah kami perlu menang perlawanan terakhir. Sukar untuk digambarkan perasaan ini setelah mencapai kemenangan bersama-sama kerana kami telah pun beraksi dalam sebuah pasukan sejak 10 tahun lepas," katanya. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan