Kutipan Emas Malaysia Kekal Tiga Pada Hari Ketiga - Sukan Ekstra | mStar

Kutipan Emas Malaysia Kekal Tiga Pada Hari Ketiga

Diterbitkan: Khamis, 7 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Sekalipun berusaha keras pasukan Malaysia hanya mampu menambah satu pingat emas, Rabu menjadikan jumlah tiga pada hari ketiga Sukan Komanwel ke-19 di sini.

Sejumlah 27 pingat emas dipertaruhkan, Rabu.

Pelumba basikal Josiah Ng meraih emas itu buat negara dalam acara basikal keirin, selepas Mohd Azizulhasni Awang yang memenangi acara itu hilang kelayakan dan ini menyebabkan Malaysia kehilangan perak (Josiah di tempat kedua sebelumnya).

Katrina Ann Abdul Hadi pula tewas di kolam renang bila beliau tunduk kepada pesaing Scotland dengan hanya satu mata, demikian juga Lee Zhien Huey dan Png Hui Chuen, bila pasangan itu tamat di tempat keempat di peringkat akhir synchronised duet.

Harapan Malaysia dalam tinju juga bermula kurang baik bila Muhammad Hafiz Azan Naya ditumpaskan dalam perlawanan kelayakan kelas 60kg. Tetapi Muhammad Farkhan berjaya ke pusingan akhir bila beliau menumpaskan Kokole Paneng, Lesotho 8-1 dalam perlawanan welter weight (69kg) lelaki.

Malaysia, dengan tiga pingat emas dan pada masa ini di tempat keempat, jauh di belakang Australia yang mendahului kedudukan dengan 22 emas, sementara India di tempat kedua dengan sembilan emas, dan England lima.

Pada Khamis, 35 pingat emas menjadi taruhan dan beberapa atlet Malaysia dijangka berpeluang menaiki podium.

Sementara itu, kehebohan masih didengar mengenai kesukaran penganjur memenuhkan stadium yang kosong.

Peminat India yang gagal menghadirkan diri beramai-ramai menyebabkan ketua Persekutuan Sukan Komanwel Michael Fennell merasa kurang senang.

"Kami telah menimbulkan persoalan tentang bagaimana hendak mendapatkan penonton memenuhi stadium.

"Hanya jawatankuasa pengelola (jp) dan Kalmadi (pengerusi (jp) boleh menjawab semua soalan ini.

"Kami telah masuk hal ini dalam agenda untuk dibincangkan selanjutnya," katanya kepada media, Rabu. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan