Delhi Bersiap Sedia Jayakan Sukan Komanwel

Diterbitkan: Sabtu, 2 Oktober 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

NEW DELHI: Sukan Komanwel Ke-19, yang akan membuka tirainya Ahad ini, membawa erti tersendiri kepada India kerana ia mencatat sejarah sebagai negara Asia kedua menjadi tuan rumah temasya sukan penuh berprestij itu.

Setelah dilanda pelbagai masalah yang menyebabkan India menerima publisiti tidak menyenangkan melalui media, Delhi, ibu negara India yang kaya dengan peninggalan sejarah, kini dengan penuh yakin, mengalu-alukan kedatangan hampir 7,000 atlet untuk beradu kehebatan dalam acara yang mereka sertai sepanjang dua minggu berlangsungnya sukan itu dalam kawalan keselamatan ketat oleh pihak berkuasa.

Perkara yang menjadi igauan banyak pihak -- hujan monsun, penularan penyakit demam denggi dan ancaman keselamatan -- kini tidak lagi menjadi topik utama media.

Begitu juga halnya dengan kejadian bumbung bocor, siling runtuh atau ular yang melingkar di dalam bilik penginapan atlet, yang sebelum ini begitu ghairah dijadikan bahan berita oleh media, kini sudah lenyap dan digantikan dengan berita-berita yang indah belaka.

Sekarang, Delhi disimbahi kemeriahan luar biasa melalui penganjuran pelbagai acara menarik hasil daripada kesediaan kerajaan India membelanjakan hampir US$6 bilion (RM18 bilion)untuk menjadikan Sukan Komanwel kali ini paling mahal dalam sejarahnya. Pelbagai acara menarik ini turut disaksikan hampir 2,000 wartawan dan beribu-ribu peminat sukan yang mengunjungi Delhi.

Untuk menjamin temasya sukan ini berlangsung dengan selamat, hampir 100,000 anggota separa tentera dikerahkan mengawal venue pertandingan, hotel dan bandar raya Delhi yang menempatkan hampir 12 juta penduduk.

"Bukan mudah menjadi tuan rumah acara sebesar ini, yang disertai kira-kira 7,000 atlet daripada 71 persatuan sukan.

"Walaupun mungkin akan ada beberapa kelemahan, tapi saya rasa India mampu menjadi tuan rumah yang berjaya," kata chef-de-mission Malaysia ke sukan itu Tan Sri Abdul Halil Abdul Mutalib kepada Bernama.

Ini merupakan ujian bagi India, ekonomi ketiga terbesar di Asia, untuk membuktikan dirinya sebagai tuan rumah yang hebat, walaupun berdepan dengan pelbagai kritikan. Kejayaan dalam hal ini juga amat penting bagi India untuk mempamerkan kebolehannya kepada jiran yang kurang mesra dengannya iaitu China, yang telah mendapat pujian kerana kejayaannya menjadi tuan rumah Sukan Olimpik Beijing dan sedang membuat persiapan untuk menghadapi Sukan Asia November ini.

Pujian patut diberi kepada penganjur sukan itu dari India, beribu-ribu tenaga muda di peringkat lapangan dan pekerja bergaji rendah yang tidak terhitung jumlahnya, yang telah bekerja bertungkus-lumus siang dan malam untuk memulihkan imej India yang tercalar di mata peminat sukan di seluruh dunia sebelum ini.

"Ini soal maruah negara. Maruah negara perlu diutamakan. Oleh itu, setiap orang sanggup berkorban untuk memastikan kejayaan sukan ini dan membuktikan kemampuan mereka kepada dunia. Suasana sudah berubah sekarang, sukan ini akan mencatat kejayaan seperti Sukan Asia dahulu," kata Yadev Singh, yang bertugas sebagai pegawai media pada Sukan Asia 1982 di Delhi.

Suasana di Delhi memang berbeza berbanding sebelum ini kerana warga India ingin melihat sukan yang pernah melalui detik-detik mengecewakan itu kembali mencatat kejayaan gemilang, sambil berharap atlet handalan dari negara mereka akan mencipta kejayaan luar biasa untuk mengharumkan lagi nama negara yang mempunyai lebih satu bilion penduduk ini di arena sukan antarabangsa.

Keputusan sama ada India mampu mengatasi kejayaan Australia, yang menjadi tuan rumah Sukan Komanwel 2006 atau kehebatan jirannya China dalam menganjurkan acara sukan bertaraf antarabansga, akan hanya diketahui setelah berakhirnya Sukan Komanwel Ke-19 ini. - BERNAMA

iklan

Video

Rabu, 13 Disember 2017 9:00 AM

Jadi Pilihan Pekin Ibrahim, Siapa Donny Alamsyah?

Selasa, 12 Disember 2017 5:41 PM

Jom Lepak Tempat 'Best' Tapi Percuma

Selasa, 12 Disember 2017 8:30 AM

Isteri Pertama Kena Kuat, Tak Boleh Lemah - Elizad

Isnin, 11 Disember 2017 9:00 AM

#BiziBody : De Fam Kantoi Gambar Selfie

Ahad, 10 Disember 2017 9:00 AM

#akuStar: Aziz Harun - Jangan

Jumaat, 8 Disember 2017 8:15 PM

Malaysia Tak Diam Diri, Terus Bela Nasib Palestin

Jumaat, 8 Disember 2017 2:02 PM

Zarul Husin Takut Tua

Kolumnis

iklan

Iklan