PSM Yakin Mampu Bawa Pulang Satu Pingat Emas - Sukan Ekstra | mStar

PSM Yakin Mampu Bawa Pulang Satu Pingat Emas

Diterbitkan: Ahad, 22 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

GEORGE TOWN: Persatuan Sepak Takraw Malaysia (PSM) yakin mampu membawa pulang sekurang-kurangnya satu pingat emas pada Sukan Asia Guangzhou, November ini.

Presidennya Datuk Ahmad Ismail berkata walaupun skuad kali ini dibarisi hampir semua muka baru, mereka diyakini dapat mencapai sasaran satu emas.

"Mereka (pemain-pemain) begitu bersemangat menjalani latihan kerana mahu menebus kekalahan dan membuktikan kepada negara yang sukan sepak takraw masih bersinar," katanya kepada pemberita selepas majlis berbuka puasa PSM dengan pemain-pemain kebangsaan di sini malam Rabu.

Beliau berkata pemain menjalani latihan seperi biasa sepanjang bulan Ramadan ini dan akan mengadakan beberapa perlawanan persahabatan dengan bekas pemain kebangsaan negara dan Thailand.

Katanya senarai 15 pemain yang akan dipilih untuk menyertai Sukan Asia akan dibuat selepas perlawanan persahabatan berkenaan.

"Perlawanan persahabatan itu akan diadakan di Pulau Pinang bagi memberi pengalaman dan menguji gandingan regu-regu kita sama ada mereka serasi atau tidak," katanya.

Beliau juga meminta semua pihak supaya berhenti mengkritik pasukan sepak takraw negara sebaliknya menghormati mereka dan memberi peluang untuk beraksi dengan baik bagi menebus kekalahan.

Jurulatih pasukan sepak takraw negara Iskandar Arshad berkata skuad muda yang dipertaruhkan kali ini memiliki kelebihan untuk menundukkan musuh tradisi, Thailand.

"Thailand masih merupakan pencabar utama kita dalam usaha untuk memenangi pingat emas dalam acara takraw, cuma saya lihat ketika ini kita sudah berupaya mengimbangi kekuatan Thailand," katanya. - BERNAMA

   

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan