Loh Mara Ke Separuh Akhir, Sonia Tersingkir

Diterbitkan: Rabu, 18 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Pemain remaja negara Loh Wei Sheng mempunyai peluang merangkul pingat pada temasya Sukan Olimpik Belia (YOG) apabila berjaya melangkah ke separuh akhir acara badminton di sini, Selasa.

Loh, pelajar berusia 17 tahun dari Sekolah Sukan Bukit Jalil, mengatasi pemain tuan rumah Huang Chao 21-18, 21-16 dalam masa 34 minit pada perlawanan suku akhir di hadapan 4,000 penonton di Stadium Tertutup di sini. Loh akan menentang pemain remaja nombor satu Thailand, Poodchalat Pisit, pada separuh akhir hari ini.

"Saya agak gementar malam ini dan melakukan banyak kesilapan. Nasib baik lawan saya itu turut melakukan banyak kesilapan," kata Loh.

Poodchalat menempah tiket ke separuh akhir selepas menewaskan pemain pilihan ketiga Huang Yuan dari China dengan keputusan 21-16, 21-19.

Satu lagi perlawanan separuh akhir esok akan menyaksikan pertemuan antara pilihan utama Kang Ji Wook dari Korea Selatan menentang pemain India Haseena Sunil Kumar.

Pada saingan suku akhir, Kang menundukkan pemain Indonesia Evert Sukamta 21-11, 14-21, 21-13 manakala Haseena mengalahkan pemain Taiwan, Hsieh Feng Tse, 21-13, 18-21, 24-22.

Dalam pada itu, wakil tunggal negara dalam acara peseorangan wanita, Sonia Cheah, gagal melepasi saingan suku akhir apabila kecundang di tangan pemain Thailand Sapsiree Teeratanachai 15-21, 16-21.

"Saya banyak melakukan kesilapan dan ia bukan alasan. Lawan saya lebih berhak mendapat kejayaan," katanya.

Pemain Thailand itu akan menentang pemain Vietnam Vu Thi Trang pada perlawanan separuh akhir manakala pemain Britain Sarah Milne akan berdepan dengan pemain China Deng Xuan pada satu lagi saingan separuh akhir. - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan