Kevin Gagal Berenang Ke Peringkat Akhir

Diterbitkan: Isnin, 16 Ogos 2010 12:00 AM

(Ubah saiz teks)

SINGAPURA: Perenang muda, Kevin Lim Kar Meng, 18, gagal melayakkan diri ke saingan akhir apabila hanya mampu mencatatkan 1 minit 55.96 saat dalam acara lelaki 200m gaya bebas di kolam renang Sekolah Sukan Singapura, di sini, Isnin.

Sekalipun memenangi saringan kedua, beliau gagal menyaingi masa terpantas 1:50.34s yang dicatat perenang Rusia, Andrey Ushakov pada Sukan Olimpik Belia yang memasuki hari ketiga.

"Kami tetap gembira dan berpuas hati dengan persembahannya hari ini sekalipun beliau gagal ke akhir.

"Beliau mencatat masa yang kita jangkakan, lebih baik berbanding masa yang direkod semasa Sukma baru-baru ini," kata jurulatih Shazali Salleh ketika ditemui Bernama, di sini.

Shazali juga mengakui faktor fizikal perenang lain yang jauh lebih besar dan kuat berbanding Kevin membolehkan mereka mencatat masa yang lebih baik.

Semalam Kevin gagal ke saingan akhir lelaki 400m gaya bebas dengan catatan 4:05.53s.

Cabaran negara dalam acara renang kini diteruskan oleh Lai Wei Li, 17, yang akan bersaing dalam acara wanita 200m dan 400m gaya bebas, yang masing-masing diadakan pada Rabu dan Jumaat ini.

Atlet lain yang mewakili Malaysia ialah Navin Raj Subramaniam (lompat tinggi), Muhd Ajmal Aiman Mat Hassan (110m lari berpagar), Mohd Fahme Zam Zam Mehamad (lompat galah), Lee Wan Nin (gimnastik), Khairunneeta Mohd Affendy dan Muhamad Amirul Shafiq Md Jais (pelayaran), Fatin Atikah Osman (angkat berat), Pandelela Rinong dan Oii Tze Liang (terjunan), serta Loh Wei Sheng dan Sonia Cheah (badminton). - BERNAMA

iklan

Kolumnis

iklan

Iklan